Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
EU kini perakui sijil vaksinasi MySejahtera
Diterbitkan:  Apr 4, 2022 5:28 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera kini diperakui oleh Kesatuan Eropah (EU) menerusi Pensijilan Digital Covid EU.

Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia Michalis Rokas mengumumkan perkara itu - yang berkuat kuasa serta-merta - di Twitter hari ini.

"Berita baik, EU menerima permintaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi unuk mewujudkan kesetaraan antara Sijil Digital Covid EU dan MySejahtera Malaysia. Sau penggalak untuk perniagaan dan pelancongan," katanya.

Menurut dokumen di laman web EU, sijil ujian dan vaksinasi Malaysia di bawah "Sistem Pengurusan Vaksin" adalah selari dengan EU trust framework.

"Pada 10 Mac 2022, susulan permintaan daripada Malaysia, Suruhanjaya menjalankan ujian teknikal yang menunjukkan sijil ujian dan vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan Malaysia adalah sejajar dengan 'Sistem Pengurusan Vaksin' yang boleh beroperasi (interoperable) dengan trust framework oleh Peraturan (EU) 2021/953, dan membolehkan pengesahan ketulenan dan integriti sijil itu.

"Suruhanjaya juga mengesahkan sijil ujian dan vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan Malaysia sejajar dengan 'Sistem Pengurusan Vaksin'," katanya.

Sementara keputusan itu memperakui sijil vaksin, tidak jelas jika EU juga telah mengiktiraf semua vaksin yang diberikan di Malaysia, termasuk Sinovac.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan dua warga Malaysia dinafikan daripada memasuki Jerman, yang didakwa berkaitan vaksinasi Sinovac mereka. Mereka menerima dua dos vaksin Sinovac dan satu dos penggalak Pfizer-BioNTech.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kemudian berkata dia akan mendapatkan penjelasan daripada Michalis.

Agensi Perubatan Eropah (EMA) hanya memperakui Pfizer, Moderna, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Novavax. Sinovac pula masih dalam penilaian agensi itu sejak 4 Mei 2021.

Namun, delegasi EU di Malaysia sebelum ini memberi jaminan bahawa pengembara yang menerima vaksin yang termasuk dalam senarai penggunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), walaupun belum diperakui di EU, akan dibenarkan masuk. Sinovac termasuk dalam senarai tersebut.

Lihat Komen
ADS