Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco Kelantan ajak belia kayuh beca sebagai sumber rezeki
Diterbitkan:  Apr 5, 2022 11:29 AM
Dikemaskini: Apr 9, 2022 3:43 AM

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, Md Anizam Ab Rahman, menyeru golongan belia termasuk penganggur di negeri itu menggunakan peluang pekerjaan yang ada termasuk menjadi pengayuh beca.

Katanya, usaha itu perlu digerakkan supaya perkhidmatan beca tidak pupus begitu sahaja di Kelantan.

Pada masa sama Md Anizam berkata kerajan negeri berusaha mencari pelapis penarik beca di Kelantan bagi menggantikan mereka yang uzur dan meninggal dunia.

Ketika ini katanya kebanyakan pengayuh beca yang ada sudah berusia 60 tahun ke atas.

"Anak-anak muda yang menganggur tidak perlu berasa janggal bekerja sebagai pengayuh beca kerana ia merupakan sumber rezeki yang halal, biarpun pendapatan tidak seberapa," katanya seperti dilaporkan harakahdaily, hari ini.

Adun Kemahang itu dilaporkan berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Bantuan Sara Hidup kepada penarik beca di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri di Kota Bharu, semalam.

Sebagai rekod seramai 17 pengayuh beca yang berdaftar menerima bantuan wang tunai sebanyak RM600 setiap seorang, serta barangan keperluan harian bagi meringankan beban menyambut Ramadan.

Sumbangan tersebut merupakan pusingan pertama daripada peruntukan RM1,200 setahun yang disediakan kerajaan negeri bagi membantu golongan terbabit.

Md Anizam berkata, bagi membantu penarik beca kerajaan negeri turut menawarkan perkhidmatan baik pulih beca yang rosak secara percuma.

"Sekurang-kurangnya usaha tersebut dapat menarik minat belia yang menganggur untuk mencari rezeki sebagai pengayuh beca," katanya.

Lihat Komen
ADS