Tindakan seorang lelaki menyimpan sejumlah mercun dalam sebuah premis membawa padah apabila berjaya dikesan pihak berkuasa.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Superintendan Azhari Nusi berkata bertindak atas maklumat penyeludupan pihaknya membuat pemerhatian kira-kira jam 12.30 tengah hari ke atas sebuah premis perniagaan yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan mercun di Kampung Cabang 3, Bukit Kechil, Bachok, Kelantan, semalam.
Menurutnya, susulan itu pihak polis telah berjaya menahan lelaki tempatan yang mengaku sebagai penyewa premis perniagaan tersebut.
"Pemeriksaan lanjut di dalam premis berkenaan, pihak polis berjaya menjumpai beberapa kotak dan guni berisi pelbagai jenis mercun.
"Siasatan awal mendapati mercun berkenaan akan dipasarkan di Johor dan proses penghantaran dengan menggunakan lori," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, kesemua mercun yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari negara jiran (Thailand) melalui pangkalan haram dan di angkut dalam kuantiti yang kecil dengan menggunakan kereta bagi memudahakan pergerakan dan mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, secara keseluruhan hasil daripada serbuan dan tangkapan yang dijalankan itu pihaknya berjaya merampas 81 kotak dan 21 guni berisi pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM254,616.
"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," tambahnya.
