Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RUU perlembagaan kawal keanggotaan parti ganti RUU antilompat
Diterbitkan:  Apr 8, 2022 11:19 PM
Dikemaskini: 3:24 PM

Sebagai ganti kepada undang-undang antilompat parti, kerajaan dilaporkan akan membentangkan pindaan perlembagaan yang akan mengawal kebebasan berpersatuan berkaitan keahlian parti pada Isnin depan.

Ini selepas rancangan untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) antilompat parti menemui hambatan di kabinet, menyebabkan pembentangannya ditangguhkan.

Berikutan tiada kesepakatan mengenai undang-undang antilompat parti berkenaan, kerajaan memaklumkan kepada ahli parlimen pembangkang bahawa RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan bagi membolehkan undang-undang antilompat parti digubal pada masa depan.

Bagaimanapun, RUU baru itu menimbulkan kebimbangan lain.

Menurut salinan RUU yang disiarkan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, RUU berkenaan bertujuan meminda Perkara 10 perlembagaan.

Ia akan memasukkan peruntukan yang membenarkan keahlian parti bagi ahli parlimen dan Adun dihadkan oleh undang-undang persekutuan.

Kandungan RUU itu turut didedahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan malam ini.

Wong berkata perkataan yang terkandung dalam RUU itu terlalu luas dan perlu dikhususkan.

"Pada asasnya ia memberi kuasa kepada undang-undang persekutuan untuk menggantikan Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara yang berkaitan dengan 'keanggotaan dalam parti politik ahli parlimen dan Adun.

“Ini perlu diperketatkan dan dikecilkan dalam konteks antilompat parti sahaja,” katanya.

Terdahulu, Pakatan Harapan dalam kenyataan hari ini berkata gabungan itu menyokong langkah kerajaan membentangkan pindaan perlembagaan terlebih dahulu jika undang-undang antilompat parti disegerakan.

Peguam New Sin Yew menerusi Twitter berkata, RUU itu sangat berbahaya dan terbuka untuk disalahgunakan kerana wakil rakyat akan kehilangan kebebasan berpersatuan dalam hal keanggotaan parti.

“Ia malah tidak menghentikan lompat parti dan membenarkan kerajaan menyalahgunakan kuasa untuk mengawal parti politik lain.

"Sebagai contoh, secara hipotesis undang-undang boleh diluluskan untuk memecat ahli parlimen daripada parti politik mereka kerana didenda RM1,000," kata New.

Satu lagi contoh bagaimana pindaan perlembagaan boleh disalahgunakan, katanya, adalah undang-undang yang menyebabkan ahli parlimen yang telah ditahan atas alasan keselamatan negara - seperti dalam Ops Lalang - atau didakwa di mahkamah, kehikangan keahlian parti mereka.

Bagaimanapun, Takiyuddin - yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli - memberikan respons lebih positif terhadap RUU tersebut.

Dalam satu kenyataan malam ini, Takiyuddin berkata PAS akan memberikan sokongan penuh terhadap RUU berkenaan.

Katanya, berdasarkan kes mahkamah sebelum ini sesuatu peruntukan undang-undang berkaitan sekatan lompat parti akan dianggap bercanggah dengan perlembagaan persekutuan selagi Perkara 10 tidak dipinda bagi membolehkan Akta lompat parti digubal dan diluluskan oleh parlimen.

Dia juga berkata kabinet bersetuju bahawa RUU antilompat parti memerlukan tindakan khusus, dengan definisi yang tepat bagi mengelakkan kekeliruan, penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan berat sebelah.

Di bawah RUU antilompat parti, pilihan raya kecil akan diadakan jika ahli parlimen meletak jawatan atau dipecat daripada parti mereka, menyertai parti baru, atau jika ahli parlimen Bebas menyertai sesebuah parti.

Lihat Komen
ADS