Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mitra boleh jadi 'skandal' lebih besar berbanding Maika - Kula

Lebih RM800 juta dana disalurkan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sejak tahun 2013, boleh menjadi 'skandal' lebih besar berbanding Maika Holdings sekiranya kerajaan pusat terus mengambil sikap tidak mendedahkan nama penerimanya.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata nama-nama penerima dana tersebut terus 'disorok' daripada pengetahuan umum.

"Saya sebagai seorang bekas menteri kabinet tidak faham kenapa penerima dana Mitra tidak boleh didedahkan kepada umum? Ketika kerajaan PH bagi tahun 2019 dan 2020 nama penerima disiarkan dalam portal rasmi JPM (Jabatan Perdana Menteri).

"Tetapi, apabila kerajaan diambil alih, senarai nama itu terus dipadamkan.

"Mengapa nama mereka tidak didedahkan, apa rahsianya?" Saya percaya sekiranya kerajaan terus mengambil sikap membisu dana Mitra ini boleh menjadi skandal lebih besar berbanding Maika Holdings dan saham Telekom," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah bekas menteri sumber manusia itu pemimpin pembangkang mempunyai sebab untuk percaya bahawa ada 'tangan tersembunyi' dalam salah urus dana Mitra.

"Ini kerana hampir RM250 juta hingga RM400 juta disalurkan kepada pembangunan masyarakat India tidak digunakan dan diserah semula kepada Kementerian Kewangan.

"Bagaimana ia boleh berlaku? Kita perlu tahu kerana ia merupakan wang pembayar cukai yang ada hak untuk mendapat tahu cara dana itu digunakan," katanya.

Pada awal 1980-an, Maika Holdings dibentuk oleh MIC sebagai syarikat pelaburan yang mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 55,000 pemegang saham - kebanyakannya daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Maika Holdings gagal memberikan pulangan kepada pelabur, menyebabkan mereka yang telah mengambil pinjaman atau menjual aset mereka untuk melabur terabai selama bertahun-tahun.

Kewangannya bertambah buruk pada tahun 1990an apabila Maika sepatutnya membeli 10 juta saham Telekom, namun hanya sejuta unit saham dibeli.

Siasatan SPRM bukan alasan

Kula berkata kerajaan tidak boleh terus berselindung di belakang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas alasan badan itu masih menyiasat penerima dana Mitra dan oleh itu nama mereka tidak boleh didedahkan.

"Kalau SPRM siasat biar mereka siasat. Tapi, kita tahu kadang-kadang siasatan mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Apakah kita perlu tunggu sehingga itu untuk mendapat tahu nama-nama penerima dana.

"Ketika zaman PH ada dulu sebahagian minit mesyuarat kabinet diedarkan kepada umum. Sekiranya maklumat mesyuarat kabinet merupakan badan kuasa eksekutif tertinggi di negara boleh didedahkan, apa masalah mengumumkan penerima dana Mitra.

"Tindakan kerajaan untuk terus mempertahankan nama-nama penerima dana memberi persepsi bahawa ada yang tidak kena dengan kementerian perpaduan," katanya.

Siapa 900,000 dapat manfaat daripada program Mitra

Kulasegaran berkata, apabila ditanya di parlimen, Kementerian Perpaduan Negara menjelaskan seramai 992,406 orang India di negara ini telah menerima bantuan di bawah Mitra bagi tahun 2020 dan 2021.

Katanya, angka itu hampir 50 peratus daripada jumlah penduduk berketurunan India di Malaysia.

"Bermakna banyak yang telah dibantu oleh kerajaan dan kehidupan mereka sepatutnya telah dinaik tarafkan.

"Tetapi realitinya sangat berbeza. Yang miskin menjadi lebih miskin. Jadi siapa 900,000 orang yang dimaksudkan oleh kementerian? Untuk mengenal pasti 900,000 orang ini kita perlu tahu nama-nama penerima dana Mitra," katanya.

Dia menegaskan kerajaan perlu memberikan statistik dan data berhubung bantuan yang telah diberikan kepada golongan kaum India miskin.

Dia juga mendakwa hanya keluarga dan kroni yang mempunyai hubungan politik mendapat manfaat daripada dana berkenaan.

Mitra pada awalnya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic).

Ia dilancarkan pada tahun 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak yang pada asalnya bertujuan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Sedic dibubarkan apabila kerajaan BN tumbang pada PRU14 dan dinamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) ketika di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Namun, selepas kerajaan PH tumbang dan diambil alih oleh kerajaan Perikatan Nasional, Mitra diletakkan di bawah ke Kementerian Perpaduan.

Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukannya.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Pada 18 Feb, dua pengarah syarikat dituduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Ipoh masing-masing atas kesalahan pecah amanah melibatkan dana berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS