Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nurul Izzah: PH kena bersedia untuk kalah dua pusingan PRU lagi
Diterbitkan:  Apr 14, 2022 11:44 AM
Dikemaskini: 4:48 AM

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata Pakatan Harapan (PH) diramalkan tewas pada dua lagi pusingan pilihan raya umum sebelum menguasai Putrajaya.

Dalam temu bual bersama Sinar Harian, Nurul Izzah berkata ia mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat, masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan.

“Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan untuk impak lebih positif serta kembali diterima oleh rakyat.

“Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU15?

“Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, sebelum ini,” katanya.

Menurut Nurul Izzah, punca dirinya tidak yakin PH akan kembali berkuasa selepas PRU15 akan datang adalah kerana dasar dan kegagalan mereka menunaikan manifesto PRU14 selepas menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, tempoh 22 bulan PH menjadi kerajaan adalah terlalu singkat untuk dinilai berbanding BN yang berkuasa selama lebih enam dekad.

“PH banyak belajar dan maklum balas rakyat daripada pengamalan itu. Jika mahu dibandingkan antara kegagalan PH menunaikan manifesto semasa menjadi kerajaan selama 22 bulan dengan BN selama lebih enam dekad memang jauh.

“Kalau dinilai jumlah manifesto berjaya dilaksanakan BN mungkin dapat markah F (gagal),” katanya.

Nurul Izzah, yang aktif berpolitik sejak remaja, berkata dia meramalkan selain PH, parti lain khususnya Umno turut berdepan kehilangan banyak kerusi pada PRU15.

Ini kerana, katanya adalah kerana pengundi atas pagar belum lagi “mengaum sekuat mungkin” seperti yang berlaku semasa pilihan raya negeri Melaka dan Johor baru-baru ini.

Umno dan sekutunya dalam BN memenangi kedua-dua pilihan raya itu dengan cemerlang, walaupun mendapat kurang daripada 50 peratus undi.

“Mungkin Umno dan BN berasa yakin boleh menang tetapi mereka kena ingat perkara itu belum pasti kerana pengundi atas pagar belum lagi mengaum sekuat mungkin.

“Ini kerana pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor berlangsung kita belum memasuki fasa peralihan endemik lagi seperti sekarang,” katanya.

“Apabila semua sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya sudah pasti pengundi akan keluar beramai-ramai, saya rasa semua Ahli Parlimen patut berasa takut,” katanya.

Nurul Izzah sebelum ini mengumumkan dirinya tidak bertanding merebut enam jawatan tertinggi parti dalam pemilihan PKR akan datang.

Sebaliknya, dia berkata akan menumpukan usaha menarik pengundi atas pagar menjelang PRU15.

Dalam pada itu, Nurul Izzah juga berharap dirinya diberi peluang sekali lagi oleh pucuk pimpinan parti untuk mempertahankan kerusi pParlimen Permatang Pauh.

“Bagaimanapun, saya menghormati apa jua keputusan akhir dibuat oleh pimpinan tertinggi PKR,” katanya.

Lihat Komen
ADS