Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ferrero akan henti beli minyak sawit Sime Darby

Syarikat konfeksionari gergasi Itali, Ferrero berkata ia akan menghentikan pembelian minyak sawit dari Sime Darby Plantation selepas Amerika Syarikat (AS) mendakwa syarikat Malaysia itu mengamalkan buruh paksa.

Amalan buruh di seluruh negara Asia Tenggara mendapat perhatian sejak tempoh dua tahun lalu, dengan enam syarikat termasuk Sime Darby diharamkan oleh kastam AS atas dakwaan mengamalkan buruh paksa.

Minyak sawit, minyak sayuran yang paling banyak digunakan, adalah ramuan utama dalam penghasilan coklat Ferrero Rocher dan Nutella.

Gambar Hiasan

"Pada 6 April lalu, kami telah meminta semua pembekal langsung supya menghentikan pembekalan Ferrero dengan minyak sawit dan minyak isirong sawit yang diperoleh secara tidak langsung dari Sime Darby, sehingga diberitahu kelak," kata Ferrero kepada Reuters melalui e-mel.

"Ferrero akan mematuhi keputusan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS," kata syarikat itu.

Walaupun Ferrero hanya membeli sedikit minyak boleh dimakan daripada Sime Darby, namun syarikat itu mengambil langkah sama seperti Hershey Co dan General Mills Inc, yang boleh menjejaskan reputasi Sime Darby sebagai peneraju minyak sawit yang dihasilkan secara mampan.

Sime Darby memberitahu Reuters bahawa ia telah mengambil langkah dalam bidang hak asasi manusia dan semua pemegang kepentingannya komited terhadap kemampanan yang boleh diyakinkan dengan komitmen dan kepimpinannya dalam industri. Ferrero bukan pelanggan, tambahnya.

"Kami juga sentiasa berkomunikasi dengan semua pemegang kepentingan utama, terutamanya pelanggan yang mempunyai komitmen masing-masing," katanya.

Saham Sime Darby diniagakan turun 4 peratus pada petang Jumaat, lebih lemah berbanding indeks saham utama Malaysia, iaitu 0.3 peratus lebih rendah.

"Adalah sangat kritikal untuk Sime Darby bergerak pantas untuk mengurangkan sebarang kebimbangan berikutan kehilangan beberapa pelanggan utama ini," kata Ivy Ng, ketua penyelidik perladangan wilayah di CGS-CIMB Research, sambil menambah bahawa pembeli lain juga mungkin menghentikan pembelian mereka jika isu buruh itu berlarutan.

Ferrero, ketika menjawab soalan daripada Reuters mengenai pembekal yang menerima permintaannya untuk berhenti membeli daripada Sime Darby, berkata mereka tidak membeli terus daripada firma Malaysia tersebut yang dikatakan membekalkan 0.25 peratus daripada jumlah minyak sawitnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS