Jika benar kerajaan Kelantan berhasrat menarik anak muda untuk mencari pendapatan sebagai penarik beca, ia perlu disertakan dengan insentif bagi menjamin pendapatan mereka.
Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed berkata, ini kerana pada masa ini pengayuh beca bukanlah pekerjaan yang boleh menjana pendapatan di negeri itu.
"Selain tidak ada minat, permintaan masyarakat kepada perkhidmatan beca juga amat terhad.
"Dalam situasi hari ini, mustahil untuk belia Kelantan memilih pengayuh beca sebagai pekerjaan untuk menyara kehidupan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Dia mengulas cadangan Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, Md Anizam Ab Rahman, yang menyeru golongan belia termasuk penganggur di negeri itu menggunakan peluang pekerjaan yang ada termasuk menjadi pengayuh beca.
Katanya, usaha itu perlu digerakkan supaya perkhidmatan beca tidak pupus begitu sahaja di Kelantan.
Pada masa sama Md Anizam berkata kerajan negeri berusaha mencari pelapis penarik beca di Kelantan bagi menggantikan mereka yang uzur dan meninggal dunia.
Sementara itu Che Ibrahim berkata, jika benar kerajaan Kelantan berhasrat untuk mengekalkan beca sebagai pengangkutan alternatif terutama bagi tujuan pelancongan, ia perlu diselarikan dengan menyediakan insentif terntentu.
"Kerajaan negeri perlu menyediakan pelbagai insentif bagi menarik minat belia termasuk menawarkan bayaran insentif bulanan serta bantuan lain.
"Beca hendaklah dianggap sebagai warisan yang perlu dipertahankan, berbanding pekerjaan untuk menyara kehidupan.
"Justeru kerajaan perlu memikirkan mekanisme dan insentif bagi menarik minat belia menyahut seruan itu," katanya lagi.
