Memo bantah FTA kepada Perdana Menteri

   

Satu memorandum akan diserahkan kepada Perdana Menteri sebagai membantah keputusan kerajaan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk meneruskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat.

Memorandum tersebut akan diserahkan oleh Gabungan Rakyat Membantah FTA di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi esok.

Dalam satu kenyataannya hari ini, gabungan tersebut berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya langkah meneruskan rundingan FTA itu, tanpa mengambil kira aspirasi dan bantahan rakyat Malaysia terhadapnya.

Katanya, walaupun dua memorandum telah diserahkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, tetapi sehingga kini, banyak isu yang diutarakan di memorandum tidak dijelaskan atau dijawab.

"Ini mewujudkan satu kepastian bahawa isu-isu dan kebimbangan yang diutarakan dalam memorandum adalah berasas," kata penyelaras media gabungan tersebut, Kohila Y.

Bagi terus memberi desakan untuk menghentikan rundingan FTA dengan Amerika itu, katanya, gabungan tersebut akan menghantar memorandum bantahan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, gabungan tersebut berharap pihak media akan membantu membuat liputan bagi menyokong aspirasi rakyat biasa.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In