Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekalan elektrik terputus di Hospital KK, ganggu pembedahan
Diterbitkan:  Apr 19, 2022 9:26 PM
Dikemaskini: 1:38 PM

Gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu hari ini, menyaksikan sekurang-kurangnya satu pembedahan terpaksa dihentikan sementara menunggu pesakit berkenaan dipindahkan ke hospital lain.

Menurut notis yang dihantar kepada kakitangan hospital, transformer hospital itu mengalami kerosakan pada jam 12.05 tengah hari dan kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan sehingga 2 petang esok.

"Langkah-langkah pembaikan gagal apabila saluran pembekalan alternatif dicuba tetapi tidak dapat membekalkan elektrik," kata notis yang dilihat oleh Malaysiakini .

Sumber yang merupakan seorang kakitangan hospital yang tidak boleh dinamakan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media - berkata kejadian itu berlaku ketika dua pesakit sedang menunggu untuk menjalani pembedahan.

“Salah seorang daripada mereka sedang menjalani pembedahan elektif dan terpaksa diberhentikan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE2) untuk menyelesaikannya. Seorang lagi pesakit sangat memerlukan pembedahan segera.

"Kedua-dua mereka dibawa turun melalui tangga dan kedua-duanya juga perlu ditempatkan di ICU selepas pembedahan," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Menurut laporan The Star , kakitangan kesihatan dilihat merawat pesakit dalam gelap menggunakan lampu suluh dan lampu telefon bimbit.

Sementara itu, sumber itu mendakwa beberapa kakitangan terpaksa membantu pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan menggunakan beg injap topeng supaya mereka boleh terus bernafas.

Sumber berkata meskipun ICU dilengkapi bekalan elektrik alternatif yang boleh memastikan ventilator mekanikal dan peralatan sokongan hayat lain beroperasi, namun ia tidak dapat bertahan lama kerana menggunakan bateri.

The Star melaporkan bekalan elektrik ke beberapa bahagian hospital itu pulih kira-kira 4.40 petang.

Rose: Operasi diteruskan seperti biasa

Menurut notis yang diberi kepada kakitangan hospital, pelan kecemasan dilaksanakan untuk membatalkan atau menjadualkan semula pembedahan elektif, manakala kes kecemasan akan dipindahkan ke HQE2 atau Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.

HQE juga diminta meminjam penjana elektrik daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

The Star memetik pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin sebagai berkata SESB telah membekalkan tiga penjana eletrik sokongan untuk menambah penjana elektirk sedia ada di hospital itu.

Sumber itu bagaimanapun mendakwa hospital berkeaan memerlukan lapan janakuasa sedemikian memandangkan janakuasa elektrik utama hospital itu tidak berfungsi.

Namun begitu, Rose memberi jaminan operasi hospital berjalan seperti biasa dan menyatakan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

"Operasi kami diteruskan seperti biasa, bekalan elektrik kembali meningkat kerana kita mempunyai set penjana elektrik.

"Kami menukar penggunaan set penjana supaya ia boleh bertahan sehingga masalah itu diperbaiki," tambahnya, menurut laporan itu.

Berbeza dengan notis itu, dia dipetik berkata kes tidak kritikal dirujuk kepada HQE2 manakala HQE mengendalikan kes kecemasan dan kes kritikal, seperti pesakit ICU, pesakit yang memerlukan alat pernafasan, dan pembedahan yang memerlukan perhatian segera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS