Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Deloitte merupakan satu-satunya daripada empat firma audit terbesar antarabangsa yang sanggup melakukan audit ke atas 1MDB pada 2013.

Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir dalam keterangannya berkata, hanya firma itu sanggup diupah untuk mengaudit 1MDB yang telah 'terkenal' dan menjadi tajuk utama berita ketika itu.

Saksi pendakwaan ke-12 itu memberi keterangan lisan semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung tuduhan menyeleweng dana 1MDB sebanyak RM2.6 bilion membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Terdahulu semasa prosiding di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini, Azmi berkata salah satu firma audit antarabangsa terkemuka, KPMG bertegas untuk bertemu Najib berhubung pelaburan 1MDB di luar negara yang mencurigakan.

Dilaporkan bahawa selepas pertemuan dengan Najib pada 15 Dis 2013, KPMG digugurkan sebagai juruaudit 1MDB dan Deloitte kemudiannya dibawa masuk untuk mengaudit penyata kewangan 2013 dana itu.

Selain KPMG dan Deloitte, dua lagi daripada empat firma audit besar ialah Earnst & Young (EY) dan PricewaterhouseCoopers(PwC).

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed petang tadi, Azmi berkata, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman mengarahkannya mencari firma audit lain.

Azmi berkata ia disebabkan kebuntuan antara KPMG dan 1MDB berhubung isu audit.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan itu berkata akhirnya mereka membuat keputusan Deloitte menggantikan KPMG, kerana firma audit lain ketika itu tidak bersedia berbuat demikian berikutan berita negatif mengenai dana kekayaan negara itu.

Wan Aizuddin: Adakah Jho Low (ahli perniagaan Low Taek Jho) memberi input atau campur tangan dalam pemilihan juruaudit (baru)?

Azmi: Tidak. Kami sudah bergelut sendiri untuk mencari juruaudit (selepas buntu dengan KPMG), kerana ia (audit 1MDB 2013) sudah terlewat. Jika juruaudit baru masuk dan dengan jumlah kerja yang perlu dilakukan, saya tidak dapat bayangkan tekanan yang besar. 1MDB sudah menjadi berita, sesetengah juruaudit mungkin tidak mahu bertindak untuk kita.

Menjawab soalan sama ada Najib atau pengurusan 1MDB yang membuat keputusan untuk menukar juruaudit, Azmi menjawab dia tidak tahu.

Saksi itu menjelaskan dia tidak pasti ia mungkin arahan daripada 'orang atas'. Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan apa yang dimaksudkannya.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa penglibatan Low dalam salah laku dalam 1MDB adalah dengan kuasa yang ada pada Najib.

Pasukan pembelaan mendakwa tertuduh tidak tahu mengenai salah laku dan seluruh penyelewengan itu didalangi oleh Low serta beberapa orang lagi dalam syarikat itu.

Prosiding di hadapan Sequerah akan disambung esok, dengan rakan kongsi pengurusan KPMG, Johan Idris dijangka akan menjadi saksi bagi pihak pendakwaan.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Selain merupakan bekas perdana menteri, dia juga pernah menjadi menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS