Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan kehakiman nafi setuju percepat kes Najib, Zahid
Diterbitkan:  Apr 21, 2022 8:13 PM
Dikemaskini: 2:55 PM

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia menafikan dakwaan bahawa Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mempercepatkan kes mahkamah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Pejabat itu berkata, laporan polis telah dibuat bagi menafikan dakwaan wujudnya “konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram” antara pemimpin politik dan Tengku Maimun.

“Ketua Hakim Negara tidak pernah berkomunikasi dengan dan/atau dihubungi oleh mana-mana pemimpin politik berhubung dengan kes-kes mahkamah yang melibatkan Najib dan Ahmad Zahid.

“Kes-kes yang belum selesai di mahkamah hendaklah berjalan dan diteruskan mengikut undang-undang tanpa sebarang campur tangan oleh Ketua Hakim Negara atau orang lain,” kata pejabat itu dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan dakwaan itu bertujuan untuk memburukkan imej dan menyebabkan orang awam hilang kepercayaan terhadap badan kehakiman.

Tengku Maimun

“Selain itu, tuduhan-tuduhan ini bertujuan untuk subvert (menjatuhkan) pentadbiran keadilan dari segi perbicaraan kes yang belum selesai terhadap Najib dan Zahid,” katanya lagi.

Dakwaan konspirasi itu adalah sebahagian daripada "dokumen bocor" berkenaan pertemuan antara Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan seorang lagi pemimpin parti dengan beberapa tokoh politik antara 24 Mac dan 7 April.

Dokumen itu antara lain mendakwa seorang ahli politik memberitahu pemimpin PAS bahawa peguam negara dan ketua hakim negara setuju untuk mempercepatkan kes dan pemenjaraan Zahid dan Najib.

Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Peguam Negara serta individu lain yang dinamakan dokumen itu untuk mendapatkan maklum balas berkenaan perkara ini.

Semalam, pemimpin Umno Shahrir Samad membangkitkan kebimbangan berkenaan dokumen tersebut.

“Kalau betul, sudah berlaku kerosakan sistem judiciary dan kehakiman negara,” kata Shahrir.

Dokumen itu dilaporkan tersebar dalam kalangan lingkungan politik sejak 18 April dan dilaporkan oleh sebuah laman yang bernama Malaysia Hot.

Samsuri mengaku ada bertemu dengan beberapa individu yang dinamakan tetapi menyifatkan dokumen itu sebagai "sampah".


Lihat Komen
ADS