Mahkamah Syariah diberi kuasa sepenuhnya mengikut undang-undang untuk menafikan seorang wanita kelahiran Islam daripada meninggalkan agama itu untuk memeluk agama Buddha dan Konfusianisme, kata seoramg peguam persekutuan.
Sallehuddin Md Ali, yang mewakili kerajaan, juga memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa wanita berusia 32 tahun itu tidak boleh mendapatkan bantuan mahkamah sivil itu untuk membenarkannya murtad.
Peguam kerajaan itu berkata demikian semasa perbicaraan mendengar permohonan wanita itu untuk kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keengganan Mahkamah Syariah untuk membenarkannya meninggalkan Islam.
Pada 4 Mac lalu, dia ke mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan Mahkamah Syariah.
Wanita berusia 32 tahun itu, adalah anak kepada seorang lelaki mualaf dan wanita kelahiran Islam. Pada 8 Feb, 1990, dia didakwa berulang-kali telah memohon kepada Mahkamah Syariah untuk meninggalkan agama tersebut dan secara rasmi mahu memeluk ajaran Konfusianisme dan Buddha tetapi gagal.
Dia mendakwa mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan menolak tawarannya kerana mereka berpendapat ia bertentangan dengan hukum syarak (prinsip Islam) untuk membenarkan seorang Muslim meninggalkan agama Islam.
Semasa perbicaraan pagi ini di hadapan hakim mahkamah sivil Ahmad Kamal Md Shahid, Sallehuddin mengemukakan bantahan terhadap permohonan kebenaran kehakiman oleh wanita itu.
Peguam persekutuan itu berhujah hanya mahkamah syariah yang diberi kuasa untuk memutuskan sama ada membenarkan murtad atau tidak mengikut Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 121(1A) menyatakan bahawa mahkamah sivil di Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah.
Sallehuddin berkata bahawa keputusan mahkamah sivil sebelum ini - seperti dalam kes kontroversi mahkamah persekutuan pada 2007 mengenai usaha Lina Joy untuk menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya - menunjukkan sedemikian.
Dalam kes itu, mahkamah tertinggi memutuskan bahawa keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menolak permohonan untuk menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalan sehingga Lina - seorang wanita kelahiran Islam yang ingin memeluk agama Kristian - boleh mendapat sijil daripada Mahkamah Syariah bagi mengesahkan dia telah keluar daripada Islam.
“Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk mendengar (permohonan wanita itu untuk keluar daripada Islam), tetapi hukum syarak tidak membenarkan ini, jadi Mahkamah Syariah tidak membenarkannya.
“Memandangkan keluar Islam adalah bawah (bidang kuasa) mahkamah syariah, maka mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa (untuk menyemak keputusan mahkamah syariah).
“Apabila dia ke mahkamah syariah dan mahkamah syariah membuat keputusan mengikut bidang kuasa mereka, maka ia berakhir di situ.
"Sama ada betul atau sebaliknya, ia tidak boleh disemak (oleh mahkamah sivil)," kata Sallehuddin.
Ketika ditanya Hakim Ahmad Kamal apa akan berlaku jika keputusan mahkamah syariah itu adalah salah, peguam persekutuan berpendapat ia berakhir di situ.
Bagaimanapun, peguam wanita itu, Fahri Azzat menyangkal dakwaan itu dan berkata, bahawa mahkamah sivil adalah mahkamah yang lebih tinggi di negara ini dan diberi kuasa penyeliaan ke atas mahkamah syariah.
Peguam itu berhujah tidak seperti mahkamah sivil yang dibentuk oleh undang-undang persekutuan, mahkamah syariah di setiap negeri sebaliknya ditubuhkan di bawah undang-undang negeri.
"Kes Indira Gandhi (di Mahkamah Persekutuan pada 2018) menyatakan bahawa Perkara 121(1A) tidak melupuskan bidang kuasa mahkamah sivil kerana mahkamah syariah adalah mahkamah rendah dan tertakluk kepada kuasa penyeliaan mahkamah sivil," kata Fahri.
Mahkamah persekutuan memutuskan dalam kes Indira Gandhi, bekas suaminya yang memeluk Islam dan kemudiannya menukar agama anak-anak mereka secara sepihak atau unilateral adalah tidak sah.
Fahri juga berhujah bahawa permohonan kebenaran semakan kehakiman anak guamnya bukan isu remeh.
Pada akhir prosiding hari ini, Hakim Ahmad Kamal menetapkan 15 Jun untuk menyampaikan keputusannya sama ada membenarkan wanita itu memulakan tindakan undang-undang atau tidak.
Sekiranya dia mendapat kebenaran, mahkamah sivil kemudianakan menetapkan tarikh lain untuk mendengar merit semakan kehakimannya.
Hakim itu juga membenarkan permohonan Fahri untuk mendapatkan perintah yang menghalang media dan orang awam daripada menyiarkan nama wanita itu.
