Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukuman mati: Malaysia juga hipokrit, kata NGO hak asasi

Kumpulan pemantau hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York berkata usaha Malaysia baru-baru ini yang cuba menghalang Singapura daripada mengenakan hukuman mati ke atas KD Nagaenthran warga Malaysia adalah dipuji.

Namun, ia juga mendedahkan sikap hiprokit Putrajaya kerana Malaysia mempunyai undang-undang hampir sama yang akan mengenakan hukuman mati ke atas Nagaentran berhubung kesalahan yang sama.

“Hakim di Malaysia pada masa ini dikehendaki menjatuhkan hukuman mati ke atas hampir sesiapa sahaja yang disabitkan kesalahan ‘mengedar’ dadah – andaian ke atas sesiapa yang memiliki lebih daripada jumlah minimum.

"Memandangkan andaian itu terpakai kepada mereka yang membawa 15 gram morfin atau diamorfin, Nagaenthran juga akan dianggap sebagai 'mengedar' dadah di bawah undang-undang Malaysia," kata penasihat undang-undang bahagian Asia HRW Linda Lakhdir.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia berkata walaupun undang-undang telah diubah pada 2017 untuk membenarkan hakim di Malaysia budi bicara terhad untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta sebatan dan bukannya hukuman mati, penyelidikan oleh Universiti Monash Australia menunjukkan bahawa hakim-hakim hanya menggunakan budi bicara ini dalam empat daripada 38 kes yang disabitkan kesalahan antara Mac 2018 dan Oktober 2020.

Walaupun Putrajaya mengenakan moratorium ke atas hukuman mati pada Julai 2018, undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati kekal dan terus digunakan.

“Pada hari yang sama Kementerian Luar Malaysia mengeluarkan kenyataan mengenai Nagaentran, mahkamah di Kuching menjatuhkan hukuman mati kepada seorang lelaki kerana mengedar dadah jenis methamphetamine,” kata Lakhdhir.

Sehubungan itu, dia menggesa Putrajaya supaya menghapuskan hukuman mati bagi semua kesalahan dadah pada persidangan Parlimen akan datang.

"Jika Putrajaya mahu gesaan antarabangsa yang dibuatnya supaya pengampunan diambil serius, kerajaan harus bertindak pantas untuk menghapuskan sepenuhnya hukuman mati, hukuman yang sememangnya kejam di mana-mana sahaja ia dilaksanakan," katanya.

Mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sesiapa yang memiliki dadah terlarang melebihi had berat tertentu secara automatik dianggap mengedar dadah tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS