Pembangkang takut kalah, kata Umno
Beberapa pemimpin Umno dan ahli komponen Barisan Nasional (BN) berkata PAS dan Keadilan sengaja memboikot pilihanraya kecil Batu Talam kerana mereka sebenarnya takut kalah.
Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berkata sikap demikian menjadi perkara biasa kepada pembangkang dengan memberikan pelbagai helah setelah yakin mereka tidak mampu untuk memenangi pilihanraya kecil itu.
"Sepatutnya PAS pulau pilihanraya kecil DUN Pangkalan Pasir (di Pasir Mas) tahun lalu sekiranya dia ragu dengan sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini," katanya kepada pemberita.
Malam tadi, Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat mengumumkan keputusan Barisan Alternatif (BA) akan memboikot pilihanraya kecil Batu Talam kerana mendakwa berlaku kepincangan dalam Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), seperti daftar pemilih yang tidak tepat dan diragui serta undi pos yang tidak telus.
Menurut laporan Bernama, Annuar berkata PAS tidak boleh berkata yang sistem pilihanraya di negara ini tidak telus dan meragukan semata-mata kerana keputusan memihak kepada pemerintah.
Kerusi Batu Talam kosong berikutan kematian wakilnya dari BN Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 65, pada 27 Disember lalu akibat kanser. SPR menetapkan 16 Januari ini untuk penamaan calon.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Ali Rustam pula berkata, PAS dan Keadilan sememangnya mengetahui bahawa Batu Talam adalah kubu kuat BN sejak dulu lagi.
Satu sandiwara
"Ini bukan hendak menyerah kalah tetapi dia (PAS dan Keadilan) tahu memang nak kalah dan kalau kalah imejnya pada pilihanraya umum kelak akan jatuh," katanya kepada pemberita di Melaka.
Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyifatkan keputusan PAS dan Keadilan itu sebagai satu sandiwara dan sama ada benar mereka akan bertindak demikian hanya akan terjawab semasa hari penamaan calon kelak.
Ketika ditemui pemberita, beliau yang juga Timbalan Presiden Gerakan berkata. parti itu sudah bersiap sedia untuk membantu kempen calon BN di Batu Talam.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata tindakan yang dilakukan PAS dan Keadilan itu menunjukkan mereka mengetahui bahawa mereka sudah tidak lagi relevan untuk membela nasib rakyat.
"Ini juga menunjukkan bahawa PAS tiada jentera pilihanraya kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.
Menteri Besar Datuk Mohamad Hasan pula berkata, PAS dan Keadilan itu sebenarnya menolak sistem demokrasi yang diamalkan dan sengaja menjadikan isu sampingan sebagai alasan.
Walau apapun alasannya, katanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, pilihan raya itu perlu kerana suara rakyat adalah penting.
Jangan tuding jari
Mengenai dakwaan kepincangan SPR itu, Mohamad yang juga pengerusi Perhubungan Umno negeri berkata, Malaysia telah hampir 50 tahun merdeka dan selama ini SPR mengendalikan banyak pilihan raya dan ia tidak pernah dipertikaikan.
Di Perlis, Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim meminta pembangkang berhenti memberikan pelbagai alasan jika enggan bertanding dalam pilihanraya itu.
Shahidan yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Perlis berkata tindakan menuding jari mencari kesalahan SPR adalah perbuatan tidak demokratik kerana SPR adalah sebuah badan yang terbuka, adil dan antara yang terbaik di dunia.
Sebelum SPR menerima mana-mana pendaftaran, daftar pemilih akan dipamerkan terlebih dahulu selama sebulan dan sekiranya PAS dan Keadilan tidak berpuashati, mereka sepatutnya membuat teguran atau bantahan pada ketika itu, katanya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Mahdzir Khalid pula berkata keputusan pembangkang itu tidak akan mempengaruhi BN untuk tidak berbuat apa-apa menjelang pilihanraya kecil di Batu Talam.
Umno Kedah, katanya, akan menghantar kira-kira 200 anggota bagi membantu calon BN pada kempen pilihanraya kecil itu.