Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasat hakim: Haris Ibrahim, dua yang lain fail saman pemula terhadap SPRM
Diterbitkan:  May 6, 2022 7:32 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Peguam Haris Ibrahim dan dua yang lain mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan berhubung siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Haris sebelum ini memaklumkan dia menghidap barah paru-paru Tahap 4 awal dan doktor menjangkakan dia hanya mempunyai masa kurang setahun untuk hidup.

Bagaimanapun, penyakit dihidapi Haris tidak menghalangnya untuk memfailkan saman pemula terhadap SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan kerajaan persekutuan.

Turut memfailkan saman pemula itu iualah peguam Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai

Saman pemula itu bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa SPRM tidak berhak untuk menyiasat para hakim melainkan mereka telah digantung atau dilucutkan jawatan.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan apa-apa prosiding terhadap hakim yang sedang berkhidmat, selain siasatan terhadap Mohd Nazlan juga bercanggah dengan perlembagaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan firma guaman Tetuan Malik Imtiaz Sarwar, ketiga-tiga peguam itu berkata mereka juga telah memfailkan permohonan untuk merujuk dua soalan perlembagaan berhubung relif yang dipohon oleh mahkamah persekutuan.

SPRM sebelum ini mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan pada 23 April, susulan laporan yang dibuat oleh Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) berdasarkan keterangan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner di mahkamah AS.

Menurut kumpulan itu, Leissner dalam keterangannya mengaitkan Nazlan dengan perjanjian 1MDB yang melibatkan Tanjung Energy Holdings Sdn Bhd pada 2012.

Pada masa itu, Nazlan bertugas Maybank. Dia menyertai badan kehakiman pada 2017 sebagai pesuruhjaya kehakiman.

Pasukan peguam bekas perdana menteri Najib Razak juga mendakwa Nazlan mempunyai konflik kepentingan dalam kes 1MDB.

Nazlan, ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lepas. Najib bagaimanapun merayu kes itu di Mahkamah Persekutuan.

Ketiga-tiga peguam itu berkata siasatan SPRM ke atas Nazlan melanggr prinsip pemisahan kuasa, antara cabang eksekutif dan kebebasan badan kehakiman.

“Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap daripada kita mendapat akses kepada keadilan yang ditadbir oleh Badan Kehakiman yang bebas daripada sebarang campur tangan.

Perlembagaan menjamin kita semua kesaksamaan di bawah undang-undang dan perlindungan undang-undang yang sama.

“Kami tidak berpandangan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kebal daripada siasatan jenayah atau pendakwaan. Seperti kita semua, mereka mesti bertanggungjawab atas sebarang jenayah yang mungkin mereka lakukan.

“Bagaimanapun, kuasa untuk menyiasat dan memulakan prosiding jenayah mesti seimbang dengan keperluan untuk memastikan keyakinan orang ramai terhadap Badan Kehakiman,” kata mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS