Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MMA nafi perkecil isu buli di hospital
Diterbitkan:  May 11, 2022 10:44 PM
Dikemaskini: 2:44 PM

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata adalah tidak adil untuk menyalahkan pihak mereka berhubung isu buli di hospital.

Tegasnya, MMA tidak pernah membenarkan kelakuan sedemikian.

Dalam satu kenyataan, Koh menafikan bahawa MMA memperkecilkan isu doktor pelatih dibuli dan sebaliknya mereka mahu buli ditakrifkan dengan betul bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku.

"MMA mengulangi pendirian bahawa ia tidak membenarkan sebarang bentuk buli.

"Apa yang kami katakan ialah sudah tiba masanya buli ditakrifkan dengan betul untuk dapat mengenal pasti kes buli sebenar bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil ke atas pelakunya. Semua kes buli perlu dilaporkan untuk tindakan diambil.

"Walaupun sudah banyak yang disebut di media sosial, hanya segelintir sahaja yang benar-benar dilaporkan yang tidak bermakna hanya terdapat beberapa kes," katanya sambil menambah bahawa mereka yang terjejas akibat buli tidak boleh berdiam diri.

Kenyataan Koh itu dibuat selepas dia dan MMA dikritik berhubung kenyataan sebelum ini di mana dia mendakwa hanya terdapat segelintir kes buli yang serius.

Koh juga berhujah bahawa doktor senior menggunakan kata-kata kasar terhadap doktor pelatih adalah sesuatu yang dijangka disebabkan oleh persekitaran kerja.

Antara yang mengkritiknya termasuk Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang P Ramasamy dan kumpulan Hartal Doktor Kontrak.

Koh mendakwa kritikan yang dilemparkan terhadap MMA adalah tidak adil kerana MMA telah lama terlibat dalam menangani masalah buli dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan.

"Memahami bahawa terdapat keengganan untuk melaporkan melalui saluran biasa, MMA telah menubuhkan talian bantuannya sendiri yang dipanggil HelpDoc pada tahun 2016.

"Jadi adalah tidak adil untuk melabelkan MMA sebagai tidak menyedari keadaan semasa. Malah, MMA mempunyai pandangan jauh untuk memulakan tindakan mengenai perkara ini.

“MMA tidak pernah memperkecilkan isu buli, justeru gesaan dibuat untuk menghentikan budaya ketakutan dalam Kementerian Kesihatan.

"Bagaimanapun, kami ingin sekali lagi menyatakan bahawa amalan perubatan adalah profesion tekanan tinggi yang melibatkan pesakit yang mungkin berada dalam situasi hidup dan mati.

"Tekanan di tempat kerja melibatkan semua orang dalam pasukan, baik daripada perunding sehinggalah doktor pelatih. Kerja berpasukan adalah penting dalam penyediaan penjagaan kesihatan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS