Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kesan ngeri konsep negara berpendapatan tinggi Najib

ULASAN | Ini adalah tulisan politik. Dalam debat semalam, Najib Razak menyebut dengan tegas; jangan tinggalkan idea negara berpendapatan tinggi. 

Mana-mana kerajaan dan perdana menteri ketika pentadbiran mereka akan selalu akan mengangkat satu tema untuk memandu hala tuju pembangunan negara. Untuk objektif yang sama iaitu demi rakyat.

Apakah negara berpendapatan tinggi adalah konsep jitu untuk memakmurkan negara? Dalam erti kata lain, apakah apabila negara punya pendapatan tinggi maka rakyat akan kaya, punya gaji lebih baik, punya kuasa beli yang lebih kuat dan makin kurang orang miskin? Jika ia tidak menjamin perkara itu, maka apa makna mendapat label negara berpendapatan tinggi?

Brunei misalnya adalah negara berpendapatan tinggi kerana hasil minyak, lebih tinggi dari Korea Selatan. Namun apakah rakyat Brunei secara relatifnya lebih berpendapatan tinggi dan punya gaji lebih baik? Apakah ia lebih maju dari Singapura? Ramaikah pelabur datang ke Brunei? Dan mengapa rakyat kita umumnya tidak berpusu-pusu ghairah untuk masuk bekerja di Brunei seperti ramainya rakyat kita mencari kerja di Singapura mahupun Korea Selatan? Bahkan tak kedengaran rakyat Malaysia ingin sambung pengajian tinggi di Brunei. Itu contoh negara berpendapatan tinggi.

Model ekonomi Najib Razak dalam menjayakan visi ini ialah berhutang, bukannya menarik pelaburan asing langsung (FDI). Hutang ialah hutang dan perlu dibayar. Maka dihutang dengan kerajaaan China untuk segala macam bentuk pembangunan yang ingin dibuat. 

"Kamu mahu buat kereta api laju? Baik kami datang bina. Segala macam perkakasan, tenaga kerja, duit bank kami bawa sekaligus. Tak payah pakai pun pekerja tempatan. Kamu bagi konsesi dan tanah, maka kami buat. Sudah siap nanti bayar ansur-ansur.  Kamu mahu bangunan tinggi? Kami buat semua. Kamu mahu menara telekomunikasi di seluruh negara? Kami pasang. Tapi kami mahu seluruh jajaran tanah air untuk kami pasang. Tak perlu vendor-vendor apa pun." 

Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah satu contoh hutang. Nilai hutang projek menjadi begitu luar biasa. Inilah yang dirundingkan kembali oleh kerajaan PH ketika naik memerintah. Perjanjian hutang sudah dibuat. Membatalkannya memberi implikasi yang lebih besar. Jadi dirundingkan supaya dapat diturunkan harga projek supaya beban hutang lebih lega.

Apa akan jadi jika semua hutang ini tidak boleh dibayar? Atau kemudiannya projek ini tidak memberi impak ekonomi yang diharapkan. Ini berlaku di Sri Lanka yang juga buat pembangunan dengan konsep yang sama iaitu hutang dengan China. Di Sri Lanka, ada lebuh raya yang tidak digunakan dengan sepenuhnya kerana rakyat yang miskin tidak dapat menggunakan kemudahan tersebut. Ia lengang dan sunyi. 

Begitu juga pelabuhan dan lapangan terbang di Sri Lanka. Ia amat sunyi bagaikan dalam filem zombie lakonan Will Smith. Limpahan kerja yang kononnya diharap itu tidak berlaku. Kos untuk mengguna pakai kemudahan tersebut oleh rakyat marhaen terlalu mahal. Tetapi infrastruktur ini negara sudah dapat melalui hutang. Hutang tetap kena bayar tapi tak mampu untuk dibayar.

Ketika inilah pemberi hutang (China) berikan komitmen Tiga Abdul - jangan marah nanti kena jual. 

"Kami bina bandar ini, berikan syarat menetap tetap kepada rakyat kami. Produk makanan beli dari kami sepenuhnya. Kami bawa segala macam barang makan. Subsidi untuk rakyat? Tamatkan sebab subsidi akan kurangkan duit negara yang patutnya diguna untuk selenggara operasi kendali projek mega ini. Kadar tarif juga longgarkan. Kami akan putuskan kadar tarif yang sesuai untuk kamu. 

"Tanah-tanah strategik negara berikan kepada kami untuk ditadbir dan buat pembangunan supaya dapat bayar hutang kami. Kadar faedah bank kami tentukan. Guna mata wang duit kami lebih baik sebab mata wang kamu rendah sangat dan tiada nilai sekarang. Harga jual segala macam barang keperluan kami putuskan kadar harganya supaya cepat dapat duit untuk bayar balik hutang-hutang ini."

Nah, kamu tak ambil duit rakyat satu sen pun kan.

Inilah bentuk penjajahan baru. Ia akibat ngeri konsep negara berpendapatan tinggi versi Najib Razak. Ia berlaku. Memang berlaku di tanah air ini. Disebabkan itu ada ramai yang mempertikai bagaimana ECRL nanti boleh beroperasi dengan baik. Apa harga tiket yang akan dikenakan pada rakyat? Jika ia tidak mencapai titik ekonomi yang baik, bagaimana untuk bayar hutang untuk membinanya?

Kita telah saksikan bagaimana hari ini rakyat Sri Lanka telah bangun protes bahkan hingga mencetuskan rusuhan. Kerana dengan segala kemudahan mewah yang diperolehi, kehidupan rakyat mereka telah dicatu. Barang makan dicatu. Susu anak dicatu. Pembelian minyak petrol dicatu hingga rakyat berbaris panjang di stesen minyak. Rakyat berhak protes kerana apa dosa mereka dihukum untuk kehidupan banduan seperti itu. 

Kestabilan politik yang dicanang oleh Umno dan BN adalah ibarat jerat yang dipasang di pinggir aur. Mereka perlukan kuasa mutlak ini kembali untuk kaut dan kawal kerosakan yang sudah dilakukan mereka. Hari ini selepas Langkah Sheraton, satu persatu kedudukan strategik ekonomi negara rebah. Ia bermula dengan kejatuhan ringgit. Kemudian datang dengan kenaikan harga barang yang menggila. Bekalan makanan asas seperti ayam sering terputus. Lalu datang pula aset-aset perniagaan strategik negara di ambang muflis. Terbaru bank sudah naikkan kadar OPR pinjaman. Akan datang, inflasi yang luar biasa. 

 Ini semua demi sebuah negara kerajaan Melayu Islam dan berpendapatan tinggi.


ZAMIR GHAZALI adalah ketua pemuda PH Terengganu. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS