Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG: Tuduhan ke atas Serba Dinamik digugur demi kepentingan awam
Diterbitkan:  May 13, 2022 5:57 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Peguam Negara Idrus Harun menggugurkan pertuduhan terhadap Serba Dinamik Holdings Bhd dan pengarahnya kerana hanya terdapat bukti keadaan dan bagi mengelak perbicaraan yang panjang.

Idrus berkata, pertuduhan yang dikemukakan terhadap Serba Dinamik dan pengarahnya juga adalah tidak seimbang dengan kesalahan yang dilakukan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Idrus berkata selepas menerima surat representasi pada 21 Mac lalu, Serba Dinamik mencadangkan agar kesalahan itu dikompaun.

Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti kertas siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

"Memandangkan surat representasi oleh Serba Dinamik tersebut, AGC bersetuju dengan cadangan untuk mengkompaun kesalahan yang didakwa telah dilakukan oleh Serba Dinamik dan eksekutifnya, dengan mengambil kira, antara lain, sifat bukti keadaan yang ada terhadap Serba Dinamik dan kebergantungan kepada Seksyen 367(1) Akta 671.

“Tambahan pula, Serba Dinamik dan eksekutif tersebut bersedia menerima jumlah maksimum kompaun yang dikenakan oleh SC.

“Berdasarkan bukti yang menyokong pertuduhan dan untuk mengelak perbicaraan yang panjang dan berlarutan, AGC berpendapat kepentingan awam akan terpelihara dengan mengkompaun kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Serba Dinamik dan eksekutifnya.

“Dengan mengkompaun kesalahan ini, keperluan untuk tindakan punitif terhadap Serba Dinamik segera dicapai tanpa melalui perbicaraan yang panjang,” kata Idrus.

Pada 28 Dis tahun lepas, SC memfailkan pertuduhan terhadap pengarah eksekutif Serba Dinamk Syed Nazim Syed Faisal, ketua pegawai kewangan kumpulan Azhan Azmi; naib presiden akaun dan kewangan, Muhammad Hafiz Othman dan pengarah bebas bukan eksekutif Abu Bakar Uzir.

Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Mohd Abdul Karim Abdullah didakwa tanpa kehadiran (in absentia).

Mereka didakwa bertanggungjawab terhadap kenyataan palsu yang terkandung dalam Laporan Suku Tahunan Serba Dinamik mengenai keputusan yang disatukan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Disember 2020.

Di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal Dan Perkhidmatan 2007, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda maksimum RM3 jut

Idrus juga berpandangan bahawa prosiding jenayah terhadap Serba Dinamik tidak wajar diteruskan kerana "kesan ekonomi" untuk berbuat demikian.

“Sehingga pada tarikh siaran akhbar ini, Serba Dinamik menghadapi petisyen penggulungan daripada pemiutang, yang menjejaskan mata pencarian pekerja Serba Dinamik dan kepentingan pemegang saham serta pemiutang lain.

“Dalam keadaan ini, AGC mendapati kompaun kesalahan adalah satu bentuk hukuman yang mencukupi bagi kesalahan yang didakwa.

"Ini kemudiannya akan membolehkan Serba Dinamik menumpukan pada membetulkan kesilapan dan melaksanakan pematuhan segera terhadap peraturan Bursa Malaysia dan SC, kerana Serba Dinamik jelas melakukannya pada masa lalu tanpa kesalahan," kata Idrus.

Setakat 9 Mei, Idrus berkata, Serba Dinamik dan pengarahnya telah membayar kompaun sebanyak RM16 juta.

ADS