Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Geramm kecam tindakan pengawal keselamatan halau, herdik wartawan
Diterbitkan:  May 14, 2022 4:25 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam insiden seorang pengawal keselamatan dilaporkan menghalau dan mengherdik wartawan yang membuat liputan mengenai orang ramai beratur panjang di Jabatan Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuala Lumpur.

Lebih buruk kata kumpulan itu, turut dilaporkan terdapat cubaan untuk merampas telefon bimbit yang digunakan pengamal media terbabit.

"Perkara ini sepatutnya boleh diselesaikan secara profesional oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia kerana cara intimidasi terhadap media akan memberi kesan buruk terhadap organisasi itu sendiri.

"Perlu ditegaskan media bertanggungjawab untuk menjalankan liputan di lapangan dan seharusnya diberikan ruang, sekiranya tidak dibantu, dalam semua keadaan," tegas Geramm dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, satu rakaman video tular di media sosial memaparkan pengawal keselamatan itu menghalau serta menengking wartawan daripada portal The Vibes supaya beredar daripada Jabatan Imigresen di UTC Kuala Lumpur.

Jabatan Imigresen berdepan cabaran dalam memproses pembaharuan pasport berikutan pembukaan semula sepenuhnya sempadan negara.

Kelonggaran sekatan Covid-19 menyaksikan lonjakan terhadap permintaan perjalanan antarabangsa.

Sementara itu menurut Geramm, mengambil contoh undang-undang sedia ada di Indonesia, pengamal media di Malaysia seharusnya bersatu menuntut perlindungan untuk menjalankan tugas tanpa dihalang, apatah lagi dikasari.

"Di bawah undang-undang tersebut, tindakan menghalang media daripada menjalankan tugas itu sendiri boleh dijadikan suatu kesalahan jenayah," jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengkritik insiden itu.

"Adalah menjadi tugas wartawan untuk melaporkan kebenaran kepada orang ramai. Mereka tidak seharusnya diganggu.

"Sebarang salah urus agensi sama ada awam atau swasta harus telus dan diselesaikan bukan untuk disembunyikan. Ini adalah hak kita untuk mendapatkan maklumat.

“Kami mesti melakukan yang lebih baik," katanya di Twitter.

Dalam perkembangan itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat pengawal keselamatan berkenaan.

"Satu laporan polis diterima pada jam 12.09 tengah hari (hari ini) oleh pengawal keselamatan bertugas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS