Paling Popular
Terkini

Umno hari ini berjaya meminda perlembagaan parti mereka bagi membolehkan pemilihan ditangguhkan selama enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Cadangan pindaan itu mendapat sokongan sebulat suara membabitkan kira-kira 2,58O perwakilan seluruh negara yang hadir bersidang bagi Perhimpunan Agung Umno Khas (EGM), di Kuala Lumpur, petang ini.

Usul berkenaan dicadangkan Naib Presiden Umno Mohamad Khaled Nordin yang kemudiannya disokong oleh Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno.

Pindaan Perlembagaan tersebut melibatkan 3 Fasal iaitu Fasal 10.16, 15.3 dan 18.2 yang kesemuanya melibatkan penangguhan pemilihan di semua peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Bahagian dan Cawangan.

Pindaan ini memberi kuasa kepada MKT Umno untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, Bahagian dan Cawangan tidak lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan. sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang mana terkemudian.

Tarikh Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 adalah seperti yang dinyatakan dalam writ yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan yang sama.

Pemuda dan Puteri Umno sebelum ini menggesa supaya perlembagaan parti dipinda bagi membolehkan pemilihan diadakan selepas pilihan raya umum.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia penting bagi memastikan kesepaduan parti bagi menghadapi PRU tidak dirosakkan oleh gelombang pemilihan parti.

Lihat Komen
ADS