Kerajaan digesa mempercepatkan pembiayaan RM13 juta untuk 100 pegawai baru di bahagian siasatan jenayah seksual, wanita dan kanak-kanak D11 Bukit Aman.
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto yang membuat gesaan itu berkata ini berikutan laporan bahawa polis telah menerima 93,368 alamat IP yang disyaki mengandungi atau berkongsi pornografi kanak-kanak dari 2016 hingga 2022, tetapi hanya 103 alamat IP telah disemak, disiasat dan 50 individu ditahan.
“Tiada berita mengenai pertuduhan dan jika mereka telah disabitkan kesalahan.
"Hanya 0.11 peratus daripada jumlah alamat IP yang mengandungi atau berkongsi pornografi kanak-kanak (telah disiasat)," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) ACP Siti Kamsiah Hassan semalam dilapor berkata sejak 2017 hingga Mac tahun ini, PDRM menerima 93,368 alamat IP yang disyaki terlibat melakukan kegiatan itu.
Maklumat itu diterima daripada sistem perkongsian maklumat yang dianggotai antaranya Polis Antarabangsa (Interpol), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan National Center For Missing and Exploited Children.
Siti Kamsiah mengakui tindakan susulan terhadap maklumat yang diterima dikekang kekurangan kakitangan terlatih untuk menapis dan meneliti maklumat berkenaan.
"Maklumat yang diterima ini akan diteliti oleh unit siasatan Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC) D11 yang ketika ini hanya dianggotai tiga pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
“Oleh itu, D11 amat berharap peruntukan yang diumum kerajaan dalam Bajet 2022 melibatkan pertambahan perjawatan dan peruntukan kewangan dapat disalur dengan segera bagi memastikan bahagian ini dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani jenayah melibatkan kanak-kanak,” katanya.
Kasthuri, yang merupakan jurucakap DAP bagi hal ehwal antarabangsa, berkata dengan hanya tiga pegawai penyiasat dalam unit penyiasatan D11 untuk meliputi seluruh Malaysia, tida hairan usaha membendung isu itu bergerak perlahan.
"Walaupun saya memuji kejujuran dan ketelusan Siti Kamsiah untuk mengakui kelemahan pasukan polis dalam perang menentang pornografi kanak-kanak, ia itu tidak boleh berhenti di situ," kata Kasthuri.
Dana diumumkan tahun lepas
Kasthuri seterusnya membidas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz kerana ketiga-tiga mereka berdiam diri mengenai isu itu.
Kasthuri menegaskan bahawa Zafrul telah mengumumkan dana RM13 juta itu dalam ucapan Belanjawan 2022 tahun lepas, tetapi setakat ini tiada berita mengenai pelaksanaannya.
Sebagai tambahan kepada pasukan semasa yang berpangkalan di Bukit Aman, pembiayaan dan kakitangan tambahan akan membolehkan penubuhan unit D11 di setiap kontinjen polis, dengan sekurang-kurangnya seorang pegawai penyiasat.
“Keadaan di Malaysia menjadi begitu teruk sehinggakan agensi penguat kuasa antarabangsa menawarkan kerjasama dengan polis di sini bagi mempertingkatkan lagi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan sebegitu.
“Ini seharusnya menggerakkan hati nurani ahli parlimen dan menteri di sini untuk melakukan perkara yang betul demi keselamatan anak-anak kita daripada tangan sindiket itu,” kata Kasthuri.
Tahun lalu, dilaporkan pihak berkuasa Australia telah mengesan salah seorang pedofil paling dikehendaki di dunia di kemudahan kuarantin Covid-19 di Malaysia, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 41 tahun dari Lundu, Sarawak, yang dijatuhi hukuman penjara 48 tahun dan enam bulan penjara dengan 15 sebatan.
