Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengawal halau wartawan: Bukan NFA tapi 'rujuk ke majistret', kata OCPD

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya menafikan mereka 'cuci tangan' daripada insiden baru-baru ini, yang menyaksikan pertengkaran antara wartawan portal berita dan seorang anggota keselamatan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuala Lumpur.

Menurut Dellhan, polis tidak mengetepikan kes itu sebagai 'tiada tindakan lanjut', atau NFA, sebaliknya mengklasifikasikannya sebagai 'rujuk ke majistret' atau RTM.

"Kita RTM bukan NFA. Kedua-dua pihak telah dirakam percakapan dan hasil siasatan, (kita putuskan untuk) RTM tindakan kedua-dua pengadu.

"Kedua-dua pihak boleh merujuk laporan polis yang dibuat ke hadapan Majistret untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Malaysiakini.

Ketika diminta menjelaskan lebih lanjut mengapa polis memutuskan untuk merujuk kes itu kepada majistret, Dellhan berkata dia akan mengeluarkan kenyataan media untuk menjelaskan perkara itu tidak lama lagi.

Awal pagi tadi, portal berita The Vibes menyiarkan artikel yang menyatakan rasa terkejut dengan keputusan polis merujuk kes itu kepada majistret.

Ia memetik Dellhan berkata bahawa tiada sesiapa yang diserang dan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian Sabtu itu.

"Tiada kesalahan jenayah terlibat, tiada unsur jenayah, tiada siapa yang diserang. Oleh itu, pengadu boleh merujuk kes itu kepada majistret untuk tindakan sivil," katanya dipetik sebagai berkata.

Portal itu menekankan bahawa polis membuat keputusan itu kurang sejam selepas penyiasat merekodkan kenyataan daripada wartawan terbabit.

Ia juga menyorot wartawan Qistina Nadia dalam laporannya telah mendakwa bahawa telefon bimbitnya dirampas dalam kejadian itu.

Insiden itu berlaku pada Sabtu apabila pengawal keselamatan cuba menghentikan liputan media mengenai barisan panjang di Jabatan Imigresen.

Qistina menemu bual orang yang beratur panjang di Jabatan Imigresen tetapi diminta oleh seorang pengawal keselamatan di sana untuk beredar.

Pengawal keselamatan yang marah itu dilihat menjerit kepada wartawan dan dilaporkan merampas telefonnya apabila dia menyedari dia sedang dirakam.

Dia kemudian memulangkan telefon itu selepas didesak orang awam.

Lihat Komen
ADS