Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman 'lobi' kes mahkamah: Dr M dakwa Zahid bertemunya 5 kali
Diterbitkan:  May 17, 2022 4:29 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menemuinya sebanyak lima kali antara 2018 hingga 2020.

Mahathir berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya sebagai respons terhadap saman fitnah yang difailkan Zahid terhadapnya.

Saman fitnah itu berhubung dakwaan Mahathir bahawa Zahid cuba melobinya agar dia terlepas daripada hukuman penjara.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan hari ini, Mahathir berkata Zahid bertemunya pada 7 Jun 2018, 13 September 2018, dan pada 23 Februari hingga 25 Februari 2020.

Dalam pertemuan itu, katanya, Zahid menyuarakan kebimbangan berhubung kes mahkamah yang dihadapinya.

Pada 23 Februari lalu, Mahathir dalam satu sidang media mendakwa Zahid bertemunya bagi membincangkan kes mahkamah terhadapnya.

Menurutnya, pertemuan itu berlangsung ketika ada “kemungkinan” untuk dia menjadi perdana menteri.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zahid menafikan bertemu Mahathir bagi membincangkan kes mahkamahnya atau sebarang tindakan tindakan agensi kerajaan terhadapnya, sebelum pengerusi Pejuang itu menjadi perdana menteri.

Namun, Mahathir menjelaskan dia kenyataannya merujuk pertemuan pada 23 Februari 2020 - beberapa hari sebelum Langkah Sheraton - ketika keadaan tidak jelas jika dia akan kekal sebagai perdana menteri, namun ada kemungkinan perkara itu berlaku.

Justeru, kata Mahathir, kenyataannya adalah “pernyataan fakta”.

Dia juga melampirkan keratan jadual hariannya untuk lima hari yang dibangkitkan bagi membuktikan Zahid ada bertemunya pada hari tersebut.

Mahathir memohon kepada mahkamah agar membatalkan saman Zahid.

Lihat Komen
ADS