Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh memberi amaran satu lagi gerakan rakyat akan dilancarkan bagi mendesak penutupan Lynas jika syarikat itu mahu mengekalkan kemudahan larut lesapnya di Malaysia.

Ini susulan laporan Malaysiakini bahawa pelombong Australia itu didakwa meminta kerajaan menggugurkan syarat penting dalam lesen operasinya, yang akan tamat pada Mac 2023.

Pengerusi PKR Pahang itu berkata Pakatan Harapan (PH) pada awalnya bersetuju untuk menutup Lynas Advanced Materials Plant (LAMP).

Bagaimanapun, selepas PH berkuasa pada 2018, gabungan itu membuat keputusan untuk memindahkan kemudahan larut resap yang menghasilkan residu sisa Penulenan Air Larut Lesap (WLP) ke luar Malaysia sebelum Julai 2023.

“Apabila kami menjadi kerajaan, Ahli Parlimen Bakri DAP (Yeo Bee Yin) berkompromi untuk memindahkan kemudahan itu ke Australia.

“Ini bermakna kemudahan yang menghasilkan residu sisa Penulenan Air Larut lesap (WLP) akan dihentikan, dan LAMP akan menjadi loji biasa yang memproses unsur nadir bumi.

"Sekiranya Lynas ingin meminta untuk menjalankan proses pemecahan dan larut lesap di Malaysia, maka kita akan menggerakkan gerakan rakyat untuk menutup Lynas sepenuhnya," katanya.

Selain sisa radioaktif akan disimpan di kemudahan pelupusan kekal yang terletak bersebelahan LAMP, Fuziah khuatir Kawasan Perindustrian Gebeng akan menjadi tapak pelupusan sisa radioaktif.

"Kita mungkin kehilangan pelaburan lain di Gebeng," tambahnya.

Pada 2013, Pakatan Rakyat yang menjadi pembangkang ketika itu berjanji menamatkan operasi Lynas di Malaysia jika membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, pada 2018, PH berjanji untuk mengkaji semula projek itu meskipun tidak menyebutnya dalam manifesto mereka.

Pada 10 Mac di Parlimen, Fuziah menyalahkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kerana enggan menutup kilang pemprosesan nadir bumi semasa pentadbiran PH.

Pejuang menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan Mahathir telah bertindak atas nasihat Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Mengenai Operasi LAMP yang ditubuhkan kerajaan pada 2018.

Taktik melengahkan masa?

Sementara itu, Adun Bilut Lee Chin Chen menggesa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba supaya mengekalkan syarat yang ditetapkan dalam lesen pembaharuan operasi Lynas.

Ahli parlimen DAP itu mempersoalkan apakah janji Lynas untuk memindahkan proses larut lesapnya ke bandar Kalgoorlie di Australia hanyalah "taktik melengahkan masa".

“Orang ramai bimbang kerajaan mungkin membenarkan Lynas meneruskan proses penjanaan sisa radioaktif di Malaysia, yang akan membawa kepada pencemaran air,” kata Lee dalam satu kenyataan.

Pada Februari 2020, kerajaan PH bersetuju melanjutkan lesen Lynas sehingga Mac 2023 dengan empat syarat, termasuk memindahkan kemudahan larut lesapnya ke luar negara.

Baru-baru ini, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) memberitahu Malaysiakini bahawa ia tidak menerima sebarang permohonan daripada Lynas untuk memperbaharui lesen, manakala syarat semasa kekal tidak berubah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS