Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Tingkatkan prestasi penjawat awam bukan awasi pakaian orang ramai’
Diterbitkan:  May 20, 2022 11:48 AM
Dikemaskini: 4:26 AM

Ketua-ketua jabatan kerajaan perlu diingatkan untuk meningkatkan prestasi kakitangan mereka berbanding 'mengawasi' pakaian pelanggan, kata Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

Ngeh, yang merupakan jurucakap undang-undang dan parlimen DAP, menggesa Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali supaya bertindak terhadap ketua jabatan yang didakwanya melanggar undang-undang apabila menetapkan kod pakaian kepada orang ramai yang berurusan di jabatan kerajaan.

“Saya telah menerima beberapa aduan bahawa beberapa pejabat kerajaan kini menetapkan kod pakaian untuk dipakai oleh orang ramai sebelum mereka dibenarkan memasuki pejabat untuk mendapatkan perkhidmatan.

"Ketua jabatan tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan sedemikian dan jelas telah bertindak secara tidak sah dan menyalahi undang-undang," dakwa Ngeh.

"Saya tahu tiada undang-undang memberi kuasa kepada pegawai kerajaan untuk menetapkan pakaian yang mesti dipakai oleh orang ramai sebelum sesuatu perkhidmatan boleh diberikan kepada mereka," tambahnya.

Sebelum ini banyak jabatan dan institusi kerajaan termasuk mahkamah di Malaysia menetapkan kod pakaian yang berbeza-beza kepada orang ramai.

Dilaporkan ada individu yang tidak dibenarkan berurusan atau diberikan pakaian alternatif seperti jaket atau skirt untuk menutup bahagian badan yang terdedah .

Pakaian lain yang tidak dibenarkan termasuk kemeja-T leher bulat, seluar jeans, selipar dan sandal.

Ngeh bagaimanapun berkata, orang ramai tidak seharusnya dinafikan hak untuk berurusan di jabatan kerajaan semata-mata kerana pakaian mereka.

“Seorang petani yang berseluar pendek dan bersinglet atau Orang Asli yang memakai pakaian tradisional berhak mendapat layanan daripada penjawat awam.

“Orang miskin yang tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian yang sopan juga berhak untuk dilayan oleh penjawat awam.

"Melainkan jika seseorang itu mengganggu ketenteraman awam yang merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, perkhidmatan awam mesti diberikan kepada semua.

"Malah, jika seseorang menggganggu ketenteraman awam sekalipun kuasa untuk bertindak terhadap orang tersebut adalah pada pihak polis dan bukan oleh mana-mana penjawat awam," tegasnya.

Tahun lalu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membantah kod pakaian yang ditetapkan di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) yang menyebabkan ada individu yang tidak dibenarkan menerima vaksin mereka.

Lihat Komen
ADS