Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendakwaan mahu Arul Kanda beri keterangan terhadap Najib

Ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram, pada perbicaraan kes meminda laporan audit akhir 1MDB, hari ini memohon untuk memanggil tertuduh bersama, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) firma pelaburan negara itu, Arul Kanda untuk memberi keterangan lisan terhadap Najib Razak.

Sebelum ini pada 18 Nov 2019, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka bercadang untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi pendakwaan.

Semasa prosiding di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan pagi ini, Sri Ram berkata Arul Kanda mempunyai maklumat penting yang boleh membantu kes terhadap Najib.

“Tertuduh (Arul Kanda) mempunyai maklumat berhubung transaksi ke atas tertuduh bersama (Najib), yang akan memberi kesan terhadap keputusan pendakwaan kepada tertuduh (Najib).

“Dia (Arul Kanda) mempunyai maklumat dalam simpanannya yang berkaitan dengan pertuduhan terhadap tertuduh satu lagi (Najib) berhubung pertemuan yang diadakan pada Februari (24, 2016), peristiwa yang mendahuluinya dan peristiwa susulan pertemuan itu,” kata Sri Ram.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Seksyen itu menyatakan bahawa dalam keadaan dua atau lebih orang didakwa melakukan kesalahan di bawah akta tersebut, mahkamah boleh atas permohonan bertulis Pendakwa Raya, mengkehendaki seorang atau lebih seorang daripada mereka memberikan keterangan sebagai saksi untuk pihak pendakwaan.

Semasa menjawab permohonan itu, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata walaupun permohonan itu telah dibuat secara rasmi kepada mahkamah, pihak pendakwaan perlu memenuhi keperluan undang-undang.

“Mereka boleh membuat permohonan ini. Terdapat peruntukan yang mengawal dan terdapat kes dan peruntukan yang akan menyokong (permohonan).

“Adalah menjadi budi bicara Yang Arif sepenuhnya, berpandukan undang-undang dan sebagainya. Mereka (pendakwaan) perlu memuaskan hati mahkamah sama ada ia (permohonan) tertakluk dalam Seksyen 63 akta SPRM.

“Ia satu permohonan yang luar biasa, malah, pada zaman moden, ia mungkin kali pertama. Saya melihat isu permohonan ini termasuk isu yang bersifat perlembagaan,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk mendengar permohonan itu.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai menteri kewangan ketika itu dalam mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelakkan ahli parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa keputusan untuk membuat pindaan telah diambil semasa mesyuarat pada 24 Feb 2016, di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik peguam N Sivananthan, yang mewakili Arul Kanda sebagai berkata dia tidak akan membuat sebarang hujahan dan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

“Kedudukan anak guam saya konsisten sehingga ketika dipanggil untuk siasatan kes. Terdapat prerogatif pendakwaan jika mereka mahu membuat permohonan itu,” kata Sivananthan.

Jelasnya, pihak pendakwaan telah menyatakan dalam pernyataan pembukaannya pada awal perbicaraan mengenai hasratnya untuk memanggil anak guamnya untuk memberi keterangan.

Dalam pernyataan pembukaan pendakwaan bertarikh 18 Okt 2019, Sri Ram berkata beliau bertanggungjawab memaklumkan mahkamah bahawa pada peringkat yang sesuai, pendakwa raya akan memohon secara bertulis di bawah Seksyen 63 Akta SPRM untuk memanggil tertuduh (Arul Kanda) untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.

Selepas mendengar hujahan lisan, Mohamed Zaini mengarahkan kesemua pihak supaya mengemukakan hujahan bertulis mereka dan menetapkan 30 Mei untuk mendengar permohonan itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS