Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MKT di telefon - Lelaki kata 'market', polis kata Magnum, Kuda, Toto
Diterbitkan:  May 23, 2022 4:48 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Polis Cheras hari ini menjelaskan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa anggotanya menyalahgunakan kuasa ketika menahan dan memeriksa telefon bimbit seorang lelaki di sebuah gerai makan di Cheras baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Muhammad Idzam Jaafar berkata, hasil semakan anggota yang bertugas ketika kejadian mendapati lelaki berkenaan disyaki membeli nombor ekor haram dalam talian melalui aplikasi WhatsApp.

"Ketika pihak polis mahu memeriksa telefon bimbit secara terpeinci, individu tersebut tidak memberi kerjasama dan beredar dari tempat tersebut dengan menaiki motokar ke rumah saudaranya.

Menurutnya, pegawai polis hadir ke rumah individu tersebut bagi menerangkan tujuan kehadiran dan membawa individu berkenaan ke Balai Polis Cheras untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit individu tersebut mendapati aplikasi WhatsApp telah dinyahpasang menyebabkan bukti berkaitan pembelian nombor ekor haram dalam talian tidak diperolehi.

"Setelah selesai proses dokumentasi, individu tersebut telah dibebaskan tanpa syarat dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu portal FMT melaporkan Muhamamd Idzam berkata pegawainya mengesyaki lelaki itu membeli nombor ekor tidak berlesen melalui aplikasi mudah alih di gerai makan itu.

“Dia mendakwa apabila pegawai polis itu menaip ‘MKT’ dalam WhatsAppnya, dia hanya tahu perkataan itu sebagai ‘Market’. Itu mengarut.

“Kami tahu MKT adalah singkatan untuk Magnum, Kuda (dan Toto). Apabila dia melarikan diri daripada polis, dia berjaya memadamkan aplikasi berkenaan untuk menghapuskan bukti,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, lelaki berkenaan menerusi laman Twitter menceritakan pengalaman ketika berdepan anggota polis yang didakwa sebagai satu bentuk intimidasi.

Katanya, kejadian berlaku di sebuah gerai mamak berhampiran rumah ibunya apabila dia dihampiri dua pegawai polis berpakaian preman.

"Saya tanya pegawai, mengapa perlu serahkan telefon pada dia tanpa sebab. Menurutnya dia berhak bertanya untuk ‘memeriksa’, tanpa mengulas di bawah Akta apa dan kesalahan saya apa.

“Pegawai polis tersebut mendakwa dia ‘nampak’ perkataan mkt digunakan dalam mesej WhatsApp dan menyuruh lelaki berkenaan menyerahkan telefon bimbit itu kepada pihak polis.

"Saya menanyakan apa kesalahan di situ. Mkt, pada saya adalah singkatan Market yang saya gunakan selalu dalam tugas harian saya.

“Dia menegaskan untuk menyita fon saya tanpa memberitahu kesalahan atau sebab. Saya menegaskan hak saya ke atas data peribadi saya. Pegawai tersebut tidak berpuas hati dan menyuruh saya ‘ikut dia pergi IPD," katanya.

Sementara itu, peguam Syahredzan Johan dalam satu rakaman video berkata pihak polis mempunyai hak untuk memeriksa telefon bimbit seseorang individu jika mengesyaki perkara yang menyalahi undang-undang.

"Polis memang boleh periksa telefon kita tapi jika hanya mereka syak kita melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang," katanya.

Lihat Komen
ADS