Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Spilt Gravy: Zahim banyak belajar untuk lepasi tapisan LPF

Memang banyak perkara baru dapat dipelajari Zahim Albakri sewaktu dia menjalani proses perbincangan dengan pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) bagi membolehkan filem arahannya, Spilt Gravy (Ke Mana Tumpahnya Kuah), dapat ditayangkan kepada umum.

Katanya filem diadaptasi daripada karya Spilt Gravy On Rice (Ke Mana Tumpahnya Kuah Kalau Tak Ke Nasi) arahan Allahyarham Jit Murad itu pada awal diklasifikasi sebagai TUT (tidak sesuai untuk tayangan) oleh LPF.

“Banyak saya pelajari daripada LPF. Boleh dikatakan hari-hari kami berbincang untuk proses olahan yang bersesuaian.

“Mereka sebenarnya bermurah hati dengan memberikan pelbagai alternatif kepada saya kerana benar-benar mahukan naskhah tu dapat diterbitkan untuk tontonan.

“Tapi LPF tak boleh nak berikan kelulusan mengikut skrip asal kerana mereka mempunyai panduan penerbitan dan sebagainya,” jelas Zahim mengenai prosesnya menanti kelulusan LPF mengenai karya yang sudah terperam selama 10 tahun itu.

Disebabkan Spilt Gravy arahannya itu adalah naskhah arahannya yang pertama, pada peringkat awal dia menjadi seorang 'pemberani' sehingga tidak mengambil kira soal tapisan yang mungkin didepaninya.

Bagi Zahim, seseorang karyawan tidak harus meletak batasan pada karya-karya yang ingin dihasilkan.

“Ini karya awal saya. Pada ketika itu, saya seorang yang berani. Bagi saya, kalau LPF nak tapis, mereka akan tapis.

"Bagaimanapun, situasi itu (sekarang) sudah berbeza buat saya,” katanya.

Tertangguh kerana pandemik

Zahim berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton Spilt Gravy di Dadi Pavillion, Kuala Lumpur semalam.

Lakon layar Spilt Gravy On Rice asalnya dipentaskan di The Actors Studio, Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur pada 2002. Ia kemudian menjalani penggambaran pada 7 Jun 2012 sehingga Julai sebelum dihantar kepada LPF pada tahun sama.

Kisah komedi gelap memaparkan sebuah keluarga kelas pertengahan atas itu mengambil latar belakang pada 8 Jun 2011.

Ia menceritakan perihal Bapak (Rahim Razali) yang berasakan dia tidak mempunyai masa panjang lalu menjemput semua anaknya untuk makan bersama bagi berbincang mengenai wasiat, antaranya sebuah rumah keluarga.

Bagaimanapun, satu lawatan tidak dijangka oleh dua orang asing menyebabkan Bapak terpaksa menukar rancangannya dan menyegerakan waktu makan malam tersebut.

Selain Rahim, turut menjayakan Spilt Gravy adalah Na’a Murad, Bernice Chauly, Sean Ghazi, Juliana Ibrahim dan Zahim sendiri sebagai watak utama. Ia dijadual menjengah pawagam tanah air pada 9 Jun ini.

Tambah Zahim, penat lelah menyunting dan mengubah kira-kira 30 peratus jalan cerita daripada karya asal akhirnya membuahkan hasil apabila dia mendapat perkhabaran gembira daripada LPF pada Mac tahun lalu.

Pun begitu, menurutnya, Spilt Gravy sekali lagi terpaksa menunggu masa sesuai selama dua tahun untuk ditayangkan kerana rintangan pandemik.

Untuk mendapat kelulusan, kata Zahim, antara arahan pihak berkuasa yang perlu dituruti ialah membuang watak atau dialog yang mampu mencetus kontroversi selain mengaburkan sesebuah aksi yang disifatkan tidak bersesuaian.

“Ia satu proses yang menarik. Bagaimanapun, versi untuk tontonan hampir sama sekurang-kurang 70 peratus dengan karya asal.

“Ada beberapa babak perlu disenyapkan (diredam) dan aksi dikaburkan bagi memperoleh klasifikasi tertentu, dan mereka berikan saya beberapa pilihan untuk berbuat demikian.

“Jadi, saya pun turuti arahan tu dan Spilt Gravy akhirnya mendapat tarikh tayangan dengan tahap klasifikasi sebagai PG-13,” katanya.

Lihat Komen
ADS