Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perpustakaan Institut Koperasi kini dikenali Perpustakaan Tan Sri Noh Omar
Diterbitkan:  May 26, 2022 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Perpustakaan Tan Sri Noh Omar yang sebelum ini dikenali sebagai Perpustakaan Institut Koperasi Malaysia sejak lebih 30 tahun lepas, kini berwajah baharu dengan menampilkan suasana yang lebih kondusif dan mengaplikasikan kaedah digital.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata perpustakaan yang dinamakan sempena namanya itu, berikutan pelancarannya hari ini yang turut dilaksanakan mengikut standard klasifikasi perpustakaan 'Library Congress Classification' (LCC) bagi mengurus dan merekod semua bahan koleksi.

Beliau berkata perpustakaan itu yang ditubuhkan bagi menyokong keperluan latihan dan kursus Institut Koperasi Malaysia (IKMa) mempunyai lebih 30,000 koleksi bahan monograf termasuk buku, bahan terbitan seperti majalah dan laporan tahunan berkaitan bidang keusahawanan dan pengendalian koperasi.

"Koleksi berkenaan juga dikemas kini dan ditambah setiap tahun bagi menguatkan fungsinya sebagai pusat rujukan sumber koperasi di seluruh negara termasuk dalam bentuk fizikal mahupun digital," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran perpustakaan tersebut di Petaling Jaya.

Noh turut menyerahkan surat kelulusan penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) kepada Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa Datuk Dr Rosli Mat Hassan.

Mengulas mengenai perkembangan terkini UKKM, beliau berkata pihaknya masih dalam proses memuktamadkan beberapa perkara mengenai penubuhannya.

"... Kita masih sedang mengenal pasti profesor-profesor (yang layak mengajar) 15 bidang berkaitan keusahawanan dan koperasi.

"Selain itu, kita sudah kenal pasti satu bangunan di Cyberjaya, operasi UKKM akan bermula di sana," katanya.

Sebelum ini, Noh dilaporkan berkata bahawa UKKM dijangka mula beroperasi September ini melibatkan kira-kira 500 hingga 1,000 pelajar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS