Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Obsesi Mahathir salahkan Anwar dah jadi jenaka berkala - Adam
Diterbitkan:  Jun 4, 2022 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Ketua Pemuda PKR (AMK) yang baru dipilih, Adam Adli berkata obsesi bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad yang sentiasa menyalahkan Anwar Ibrahim dalam semua perkara sudah menjadi 'jenaka berkala'.

"Jujurlah, rasanya kita dah hampir lali dengan obsesi Tun M untuk menyalahkan Anwar dalam semua hal. Sudah jadi jenaka berkala.

"Yang meruntuhkan PH akhirnya adalah orang yang beliau angkat, bukan Anwar. Cukuplah ya? Orang lain ada banyak kerja nak buat," katanya dalam kenyataan.

Semalam, dalam wawancara bersama Utusan Malaysia Dr Mahathir berkata dia masih kekal menjadi perdana menteri jika bukan disebabkan Anwar.

"Kalau tak sabit dia (Anwar), saya hari ini jadi Perdana Menteri. Pasal bila saya letak jawatan, Agong mahu setiap 220 ahli parlimen tulis siapa yang mereka pilih. Saya fikir PH akan letak nama sayalah, pasal saya daripada PH.

“Tetapi Anwar kata dia ada banyak sokongan, tapi dia orang (PH) bagi kepada Anwar 92 undi, saya dapat 62, bukan daripada PH, daripada parti lain orang lain saya tak tahu siapa," katanya.

Untuk rekod, sebelum PRU14, pimpinan PH bersetuju meletakkan Mahathir sebagai calon PM berikutan Anwar ketika itu masih di penjara.

PH kemudian menang PRU14 dan Mahathir berjanji menyerahkan kuasa perdana menteri kepada Anwar tanpa menyatakan tarikh yang tepat.

Keadaan itu menyebabkan PKR mendesak supaya tarikh peralihan kuasa ditetapkan.

Namun, susulan 'Langkah Sheraton' yang diketuai Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan timbalan presiden PKR, Azmin Ali ketika itu, kerajaan PH tumbang dan Mahathir meletak jawatan pada Feb 2020.

Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan selepas mendapat sokongan daripada ahli parlimen BN, PAS dan GPS, manakala Anwar gagal mendapat sokongan ahli parlimen di kalangan bekas sekutu PH.

‘Berhentilah salahkan Anwar’

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK, Kamil Munim berkata Mahathir cuba melarikan diri daripada menanggung kesalahan bersekongkol menjatuhkan kerajaan PH dengan terus menerus menyalahkan Anwar.

Katanya, serangan itu tidak membawa apa-apa makna kepada Anwar kerana umum mengetahui Mahathir penyebab kerajaan PH rebah dan akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah.

"Saya menyeru Tun Mahathir untuk bersikap jujur dan ikhlas dalam berpolitik seperti yang pernah ditunjukkan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang memberi laluan untuk Tun diangkat menjadi perdana menteri ke-7.

"Sekali lagi saya berharap agar Tun Mahathir berhenti menyalahkan individu lain dan bermuhasabah atas segala kesilapan yang pernah dilakukan serta menerima hakikat bahawa tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan adalah disebabkan tindakan beliau sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS