Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco T'ganu nafi keracunan makanan di pulau berkait sisa kumbahan

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, Ariffin Deraman menafikan dakwaan sekumpulan enam individu mengalami keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berenang di perairan di negeri itu akibat sisa kumbahan yang tidak dirawat.

"Memang isu kumbahan ini menjadi isu yang besar di pulau-pulau sekitar Terengganu.

"Tetapi, kalau berlaku keracunan setakat ini saya menyangkallah kerana isu kumbahan itu," katanya kepada Malaysiakini.

Malah, Ariffin berkata adalah tidak logik untuk mengaitkan isu tersebut dengan masalah sisa kumbahan di pulau-pulau terbabit.

Kata Ariffin, ini kerana isu kumbahan di pulau-pulau di negeri itu telah lama berlaku dan sehingga kini belum dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, pihak pengusaha pusat-pusat pelancongan di negeri terbabit difahamkan sudah mengambil inisiatif mereka sendiri bagi menyelesaikan isu kumbahan tersebut.

"Tak berapa logiklah, sebab isu kumbahan ini dah lama dan sebenarnya tak selesai dan mereka ada penyelesaian mereka sendirilah dan selama ini, itulah yang berlaku di sana dan tidak berlaku pun keracunan makanan ini.

"Jadi, bagaimana dia orang boleh kaitkan dengan isu masalah kumbahan...tapi itulah, saya pun tak dapat maklumat lagi. Nanti saya semak dulu dan akan maklumkan kemudian," katanya ringkas.

Ariffin berkata demikian mengulas dakwaan seorang pengusaha resort di pulau di negeri itu yang mendakwa banyak resort di pulau-pulau di Terengganu membuang najis manusia terus ke laut tanpa apa-apa proses rawatan.

Dakwaan tersebut menyusul selepas sebuah portal berita melaporkan percutian dua malam ke Pulau Perhentian Kecil, Terengganu bertukar menjadi malapetaka bagi enam sekawan yang mendakwa mereka mengalami keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berenang di perairan yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan yang tidak dirawat.

Salah seorangnya, Vilasini Kengartharan, 31, berkata dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila seorang pekerja pusat peranginan didiami mereka menyarankan agar makan di hotel sahaja memandangkan “kes keracunan makanan semakin meningkat."

Bagaimanapun, salah seorang rakannya, yang menerima nasihat pekerja tersebut dan hanya makan makanan disediakan pusat peranginan itu, turut jatuh sakit.

Vilasini berkata, kesemua mereka mula muntah-muntah pada malam terakhir percutian.

Terdapat kira-kira 50 pusat peranginan di Pulau Perhentian Kecil. Beberapa yang dihubungi enggan menyatakan sama ada mereka merawat sisa kumbahan mereka mengikut undang-undang.

Malaysiakini sudah menghubungi Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak untuk responnya, bagaimanapun belum berhasil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS