Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PANDUANKINI l Pesta Bon Odori yang berasal dari Jepun telah disambut di Malaysia sejak beberapa dekad lalu.

Perayaan tahunan yang diadakan di Shah Alam sahaja dilaporkan menarik kehadiran lebih 35,000 rakyat negara ini dan ekspatriat Jepun serta merupakan antara yang terbesar di luar Jepun.

Tahun ini, ketika perayaan itu bersedia untuk membuat kemunculan semula selepas wabak Covid-19, ia menjadi kontroversi susulan kenyataan pihak berkuasa agama yang menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertainya.

Untuk Panduan Kini kali ini, Malaysiakini meninjau asal usul perayaan ini dan bagaimana ia berkembang di Malaysia.

Apa itu Bon Odori?

Bon - kadang-kadang disebut sebagai Obon - ialah adat resam masyarakat Jepun yang beragama Buddha sebagai menghormati roh nenek moyang mereka. Roh berkenaan dikatakan akan melawat mazbah di rumah sebelum dihantar pulang semasa upacara pada akhir perayaan.

Ia secara tradisinya berlangsung selama tiga hari dari hari ke-15 bulan kesembilan dalam kalendar lunar Cina/Jepun. Keanehan dalam peralihan Jepun daripada kalendar lunar kepada kalendar Gregorian bermakna pelbagai wilayah di negara itu kini meraikan perayaan berkenaan pada tarikh yang berbeza.

Perayaan ini mempunyai asal usul yang sama seperti Perayaan Hantu Lapar yang disambut oleh masyarakat di China, termasuk orang Cina di Malaysia.

Bon Odori adalah sekadar tarian yang dipersembahkan semasa Bon diengan orang ramai lazimnya membentuk satu bulatan dan menari di sekitar pentas (dipanggil 'Yagura') dan diiringi oleh persembahan muzik.

Adakah ini masih perayaan agama?

Di Jepun, ya, walaupun unsur keagamaan perayaan (terutama untuk tarian) semakin pudar. Sebaliknya, Bon Odori menjadi karnival musim panas.

“Pada asalnya, merupakan upacara berehat untuk roh nenek moyang mereka, tarian Bon kemudiannya mula berkembang dan bertukar menjadi satu bentuk hiburan dan perayaan.

"Hari ini, ia telah berkembang menjadi pesta tempatan yang unik, perayaan musim panas yang ceria," menurut artikel 2011 dalam Trends in Japan yang merupakan laman web yang dikendalikan oleh Kementerian Luar Jepun.

Bagaimanakah Bon Odori tersebar ke Malaysia?

Menurut laman web rasmi Kelab Jepun Kuala Lumpur (JCKL), ia bermula sebagai acara kecil-kecilan pada tahun 1977 buat ekspatriat Jepun di Malaysia untuk menyemai budaya Jepun di kalangan anak-anak mereka.

Hari ini, ia telah menjadi acara tahunan yang disertai oleh orang ramai di Pulau Pinang, Sabah, dan Selangor sebagai satu perayaan dan pertukaran budaya. Pesta di Shah Alam dianjurkan oleh JCKL, Sekolah Jepun Kuala Lumpur, dan Kedutaan Jepun. Ia juga disokong oleh kerajaan negeri Selangor.

Sesetengah upacara atau ritual Bon, seperti menyalakan api besar di penghujung Bon untuk dijadikan panduan untuk pemergian roh mereka yang meninggal dunia, tidak dilakukan di Malaysia. Sekurang-kurangnya tidak pesta itu.

Sebaliknya, tarikan utama di festival itu ialah tarian yang diiringi muzik di sekitar Yagura dan gerai-gerai sekitar yang menjual makanan Jepun.

“Ia menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk merasai kepelbagaian seni Jepun, tarian, makanan dan minuman.

“Ia juga adalah peluang bagi masyarakat Jepun di Malaysia untuk diperkenalkan dengan budaya Malaysia melalui persembahan tarian anjuran Tourism Selangor,” kata JCKL dalam satu kenyataan hari ini.

Pada tahun-tahun sebelumnya, ramai hadirin turut berpakaian Jepun untuk majlis itu dengan memakai yukata - pakaian kapas ringan untuk majlis kasual seperti Bon Odori .

Perayaan tahunan itu telah ditangguhkan selama dua tahun kerana pandemik Covid-19 tetapi dijadualkan untuk membuat kemunculan semula pada 16 Julai di Kompleks Sukan Negara di Shah Alam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS