Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PM: Tiada keperluan mesyuarat khas parlimen bahas RUU lompat parti
Diterbitkan:  Jun 9, 2022 12:07 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tiada keperluan untuk mengadakan mesyuarat khas Dewan Rakyat bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan peruntukan larangan ahli parlimen bertukar parti.

Sebaliknya, RUU itu akan dibentangkan semasa mesyuarat kedua Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 18 Julai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perdana menteri membuat keputusan itu memandangkan ramai ahli parlimen yang berada di luar negara atas urusan rasmi pada ketika ini sehingga pertengahan Julai.

"Sebagai contoh terdapat dua (2) Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan ke luar negara pada awal bulan Julai sehingga pertengahan Julai 2020 iaitu Jawatankuasa Pilihan has Kewangan dan Ekonomi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan," katanya dalam kenyaatan.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(3), perdana menteri boleh memanggil mesyuarat Dewan Rakyat dengan notis 14 hari. Jika notis dikeluarkan hari ini, Dewan Rakyat boleh bersidang pada 24 Jun.

Wan Junaidi berkata faktor lain dipertimbangkan perdana menteri ialah penjimatan wang kerajaan dalam melaksanakan mesyuarat khas parlimen bagi kedua-dua Dewan yang menurutnya boleh digunakan untuk membantu kelangsungan hidup rakyat.

"Pada keseluruhannya jumlah kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah kira-kira RM1,077,600.00 tidak termasuk kos operasi jika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan," katanya.

Wan Junaidi berkata walaupun mesyuarat khas itu tidak akan diadakan, ahli parlimen mempunyai masa mencukupi untuk meneliti RUU itu semasa sidang dewan yang bermula 18 Julai

Terdahulu, RUU berkenaan bertujuan menghalang ahli parlimen daripada bertukar parti dan merupakan agenda utama dalam perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) antara perdana menteri dan Pakatan Harapan.

Berdasarkan perjanjian, kelulusan rang undang-undang itu sepatutnya telah diselesaikan semasa mesyuarat pertama parlimen tahun ini.

Ismail Sabri kemudian mengadakan mesyuarat khas Dewan Rakyat pada 11 April untuk membentangkan RUU berkenaan. Usaha itu bagaimananapun terhalang dengan perubahan di saat akhir oleh kabinet.

Sebaliknya, mesyuarat khas pada 11 April itu membuat keputusan untuk membentuk sebuah jawatankuasa pilihan khas bagi memperhalusi RUU berkenaan. Pada masa itu, Ismail berjanji akan mengadakan sidang khas menjelang akhir Mei.

Lihat Komen
ADS