ULASAN | Apabila bercakap mengenai masa depan dalam lanskap anak muda negeri Kelantan, sudah tentu ia akan menjurus kepada wacana untuk melihat idea pembangunan, pemerkasaan ekonomi, pendidikan dan corak sosial masa depan yang diimpikan.
Selepas 32 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, arus pemikiran konvensional barangkali masih menebal jika ditinjau dari aspek generasi yang dewasa di era 1990-an.
Namun, sejauh mana gagasan pemikiran baru bertapak dalam kalangan generasi muda di era 2020 ini sukar ditanggapi sementelah pengaruh politik semasa menyaksikan sentimen berbaur retorik masih menjadi pilihan.
Perkara itu boleh diteliti melalui aspek-aspek keperibadian masyarakat Kelantan antaranya sikap, pemikiran, latar belakang pendidikan dan nilai-nilai kebudayaan.
Tokoh ilmuan Kelantan Abdul Rahman Al-Ahmadi dalam satu makalah bertajuk 'Watak dinamik orang Melayu Kelantan ditinjau dari beberapa segi' sempena Kongres Ekonomi Pemuda Kelantan pada 8 Mac 1969 telah memperhalusi bagaimana letak duduknya keperibadian orang-orang Melayu Kelantan.
Walaupun tulisannya agak umum dan memetik sumber-sumber lampau, ia boleh dirumuskan untuk melihat konteks perubahan dari garis masa di era lalu dan kini.
Tulisan itu memberi gambaran kecenderungan masyarakat Kelantan berdasarkan penelitian terhadap tingkah laku dan keperibadian sama ada individu, masyarakat dan rentetan peristiwa sejarah.
Menjelang program forum 'Masa depan Kelantan: Anak muda' yang bakal berlangsung pada 16 Jun ini, suka untuk penulis meninjau sejauh mana senergi wacana yang bakal diketengahkan oleh tiga panelis iaitu Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed; Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor dan Ketua Pemuda Amanah, Hazmi Hassan.

Keberadaan mereka di satu pentas itu boleh dianggap sebagai titik mula bukan sahaja mencetuskan kematangan berpolitik, malah bagi melontarkan gagasan lokal yang bersifat konkrit, bermatlamat dan tuntas dalam memandu anak-anak muda negeri mendepani zaman.
Penganjuran forum yang menampilkan pemimpin daripada parti berbeza itu juga harus dipuji bersesuaian dengan keterbukaan medium massa sekali gus menolak sikap berpolitik secara sepihak.
Tanggapan suka berhijrah
Ia penting bukan sahaja sebagai peluang mempengaruhi khalayak, bahkan membuka ruang seluas-luasnya untuk masyarakat menilai dan menganalisa intipati forum dengan bebas.
Penulis melihat antara aspek utama yang perlu diberi perhatian membabitkan isu anak muda Kelantan adalah aspek pendidikan dan peluang pekerjaan.
Dua elemen ini saling berkait dan melengkapi. Kerana pendidikan akan mencorakkan individu, dan ia menjadi asas kepada penerokaan alam kerjaya.
Bagaimanapun, penulis tidak berhasrat untuk meninjau soal pendidikan yang kita boleh anggap ia tidak menimbulkan polemik dan situasinya di Kelantan dan negeri-negeri lain adalah setara.
Umum sedia maklum betapa ramainya orang Kelantan memilih bekerja di luar Kelantan khususnya di negeri-negeri yang lebih pesat aliran ekonominya.
Walaupun ada tanggapan 'orang Kelantan suka berhijrah', namun timbul persoalan sejauh mana tanggapan itu benar-benar menjadi pegangan.
Tanggapan 'suka berhijrah' pastinya wujud selepas mengambil kira faktor-faktor yang mempengaruhi persekitaran di Kelantan sendiri.
Misalnya sebesar mana skala penawaran sektor pekerjaan yang wujud, kesesuaian sektor pekerjaan yang ada dengan latar belakang pendidikan masyarakat, faktor gaji, dan seumpamanya.

Di era 1970-an, anak-anak muda pada ketika itu khususnya yang tidak mempunyai pendidikan tinggi berhijrah ke negeri-negeri lain untuk bekerja sebagai buruh binaan seperti di Kuala Lumpur dan Singapura.
Hal-hal sedemikian pastinya menjadi kayu ukur kepada anak-anak Kelantan untuk memilih keberadaan mereka dan kita boleh melihat benarkah anak Kelantan memang suka bekerja dan bermastautin di luar berbanding di Kelantan sendiri?
Boleh juga dilihat berapa ramai jumlah penjawat awam misalnya golongan guru yang yang mahu berpindah untuk balik berkhidmat Kelantan.
Selain itu, perbandingan sekilas pandang sebagai contoh jika seseorang itu sebagai pekerja kilang di Kelantan, apakah gaji dan imbuhan yang diterima sebanding dengan pekerja kilang di negeri-negeri lain?
Itu antara sisi-sisi yang perlu diberi sentuhan dalam perspektif masa depan anak muda Kelantan berlandaskan perkembangan semasa dan aspek mendatang.
Dalam perkembangan itu juga, panelis juga wajar menyentuh sejauh mana kemampuan kerajaan negeri membawa masuk pelaburan dan rekod-rekod semasa kerajaan negeri serta prospek masa depan.
Tokoh sarjana tempatan Syed Husin Ali dalam bukunya Kemiskinan dan kelaparan tanah di Kelantan (1978) menegaskan kemiskinan di Kelantan (dan semenanjung) seperti di kebanyakan negara dunia ketiga mempunyai hubungan rapat dengan sistem bpenumpuan milik kekayaan di kalangan sebilangan kecil orang; di Semenanjung Malaysia bkadar bilangan pemodal-monopoli asing adalah lebih besar dari Kelantan.
Jelasnya, penumpuan milik ini dibenar bahkan dipupuk oleh sistem sosioekonomi berasaskan falsafah ekonomi bebas itu yang mengakibatkan rakyat miskin yang menjadi mangsa pemodal besar dan golongan kaya.
Sehubungan itu, golongan muda yang selalu disebut sebagai pelapis generasi pastinya mahukan kemajuan lebih memberi jaminan terhadap keperluan hidup yang stabil selari dengan peredaran zaman.
Justeru, apa juga objektif forum yang menampilkan wakil-wakil pemuda parti itu bukan sahaja untuk mengukur kebolehan diri di pentas semata-mata, sebaliknya menjadi tunjang budaya berwacana agar terus menjadi platform pengembangan ilmu dan keupayaan kepimpinan.
N FAIZAL GHAZALI merupakan wartawan Malaysiakini yang berpangkalan di Kota Bharu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
