Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Hukuman mati masih ada tapi hakim diberi guna budi bicara

Keputusan memansuhkan hukuman mati mandatori adalah bagi memberi peluang kepada hakim menjatuhkan hukuman menggunakan budi bicara, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dia memaklumkan keputusan untuk meminda hukuman itu dibuat selepas mendengar laporan dikemukakan jawatankuasa berkaitan.

"Mesyuarat kabinet minggu lepas mendapat laporan daripada jawatankuasa berkaitan supaya untuk melihat kepada cadangan hukuman mati mandatori ini dipinda.

"Hukuman mati tidak dimansuhkan, dia kena faham ini ya, hukuman mati masih kekal ada, tetapi bukan mandatori ia, memberikan hakim menggunakan budi bicara.

"Cuma sekarang ini, sebagai contoh Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, hakim tidak ada pilihan, dia terikat dengan Seksyen tersebut iaitu mesti menjatuhkan hukuman mati mandatori tapi selepas ini, hakim boleh menggunakan budi bicara mereka sama ada menjatuhkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup," katanya dalam sidang media di Bera, Pahang hari ini.

Ismail memberitahu secara dasarnya kerajaan bersetuju dengan cadangan memberikan hakim kuasa menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Namun, katanya, selepas mendengar penjelasan daripada Wan Junaidi dan beberapa pihak lagi, perkara itu masih perlu diperkemaskan.

Wan Junaidi dalam kenyataan media pagi tadi memaklumkan kerajaan setuju memansuhkan hukuman mati mandatori dan digantikan dengan hukuman lain tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan itu dicapai selepas Wan Junaidi membentangkan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori ketika mesyuarat Kabinet Rabu lalu.

"Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor jawatankuasa yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.

"Jemaah menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah," katanya.

Menurut Wan Junaidi, kajian lanjut akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain di kementerian atau jabatan berkepentingan.

“Tindakan ini adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ dan keperlembagaan (constitutionality) mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti.

“Kerajaan juga akan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah (Criminal Justice System) di negara ini, antaranya seperti pewujudan prosedur pra penghukuman (pre-sentencing procedure), penubuhan Majlis Penghukuman (Sentencing Council), pembangunan Garis Panduan Penghukuman (Sentencing Guideline), penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang (Law Commission), pembaharuan institusi kepenjaraan (Prison Reform) dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice,” katanya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat untuk memastikan hak semua pihak terpeliharan dan terjamin dalam mencerminkan ketelusan kepimpinan negara untuk menambahbaik sistem keadilan jenayah negara.

Pada Disember 2018, mendiang Liew Vui Keong yang ketika itu merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk memansuhkan hukuman mati mandatori akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang berikutnya.

Bagaimanapun, pada Nov 2020, selepas kerajaan PH tumbang dan digantikan oleh Perikatan Nasional, Takiyuddin Hassan yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu berkata RUU pemansuhan hukuman mati itu perlu diteliti secara terperinci oleh kerajaan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Lihat Komen
ADS