Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Queen Counsel tak tahu BM, Shafee ada kelayakan, kata pendakwa

Queen's Counsel (QC) dari United Kingdom yang diinginkan Najib Razak untuk mewakilinya dalam rayuan SRC International bernilai RM42 juta tidak tahu bahasa Malaysia, kata pihak pendakwaan.

Dalam afidavit untuk menentang usaha bekas perdana menteri itu membawa masuk QC untuk mewakilinya, timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul menegaskan bahawa Jonathan Laidlaw tidak memenuhi keperluan asas ini di bawah Seksyen 11(2) Akta Profesion Undang-undang 1976 .

Pendakwa raya menyatakan bahawa Najib tidak perlu mendapatkan kepakaran QC dari UK kerana terdapat peguambela dan peguamcara tempatan yang kerap hadir dan berhujah di mahkamah mengenai kes salah guna kuasa, jenayah pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang.

Dalam rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan yang sedang berlangsung, bekas menteri kewangan itu memohon untuk membatalkan sabitannya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan CBT dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan kepada RM42 juta dana daripada SRC International.

SRC merupakan anak syarikat 1MDB sebelum dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

Ashrof menegaskan bahawa tidak ditunjukkan bagaimana peguam tempatan, yang telah muncul berkali-kali dalam kes jenayah yang sama dari mahkamah majistret sehingga ke mahkamah tertinggi, tidak mempunyai keupayaan dan kelayakan atau pengalaman khas untuk mewakili Najib.

Pendakwaraya berhujah bahawa Laidlaw tidak mempunyai kelayakan dan pengalaman khas berhubung dengan undang-undang Malaysia dan proses yang dikaitkan dengan pertuduhan SRC, berbanding yang dimiliki peguam tempatan.

“Pemohon (Laidlaw) tidak mempunyai kelayakan Bahasa Malaysia seperti yang diperlukan di bawah subseksyen 11(2) Akta 166 (LPA) untuk berjaya dalam permohonan ad hoc di bawah Seksyen 18 Akta 166.

“Pemohon bukan seorang berkelayakan untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara ad hoc di bawah Akta 166.

“Fakta bahawa Muhammad Shafee Abdullah telah mengendalikan perbicaraan perayu (Najib) serta rayuan di Mahkamah Rayuan adalah satu kenyataan yang jelas bahawa Muhammad Shafee memiliki kelayakan istimewa dan pengalaman untuk mengendalikan rayuan berkaitan dengan pertuduhan-pertuduhan tersebut di Mahkamah Persekutuan.

“Oleh itu, permohonan ini adalah tidak bermerit,” kata Ashrof.

Permohonan untuk menjadikan Laidlaw sebagai peguam ad hoc Najib ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis minggu ini.

Sebelum ini, Shafee menegaskan bahawa QC UK boleh membantu "mengembangkan dan mematangkan" perundangan Malaysia.

Dalam afidavit sokongan, Shafee berkata ini kerana perkara itu melibatkan "beberapa perkara baru yang tidak pernah diputuskan oleh mahkamah Malaysia".

Shafee memetik beberapa isu baru yang dikatakan ini, antaranya sama ada Najib - sebagai perdana menteri, menteri kewangan, atau penasihat emeritus SRC - boleh dikatakan diamanahkan untuk menguasai dana SRC sebagai 'ejen'.

Pada 31 Mei, pasukan peguam Najib memfailkan usul pemula untuk Laidlaw dibenarkan mewakili bekas perdana menteri itu.

Mahkamah tertinggi telah menetapkan 10 hari pada bulan Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib untuk membatalkan sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC.

Pada 8 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan mahkamah rendah.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mendapati dia bersalah atas tujuh pertuduhan.

Mahkamah rendah juga telah menjatuhkan hukuman itu tetapi menangguhkan pelaksanaannya sementara menunggu rayuan Najib selesai.

Selain bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC, dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Lihat Komen
ADS