Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak boleh harap Undi18 akan pilih cara progresif - Adam

WAWANCARA | Dengan lanskap politik negara yang dilihat semakin tidak menentu, Malaysiakini bertanya Ketua Pemuda PKR (AMK) yang baru dilantik Adam Adli Abdul Halim bagaimana partinya merancang untuk mengharungi arus pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Adam berkata penting untuk berpegang kepada prinsip parti, menyebarkan mesejnya dan meningkatkan kesedaran pengundi.

“Terpulang kepada kami untuk memastikan kami boleh bergerak ke hadapan dan beralih daripada politik perkauman (dan) politik identiti.

"Masalah Undi18, berdasarkan sekurang-kurangnya pilihan raya Johor, (ialah) kita pernah mempunyai kepercayaan seperti ini, (menganggap) semua pengundi muda secara automatik akan mengundi secara progresif," kata Adam.

Gambar fail, protes tuntut Undi18.

Pada 15 Dis tahun lalu, penurunan umur mengundi kepada 18 tahun dan sistem Pendaftaran Pemilih Automatik mula berkuat kuasa.

Pilihan raya negeri Johor awal tahun ini menjadi ujian pertama meninjau aliran pengundian ini.

PRN Johor memperlihatkan Perikatan Nasional (PN) meraih sokongan di kalangan pengundi muda, terdapat hakisan sokongan kepada Pakatan Harapan dalam kalangan pengundi yang memilih gabungan itu pada 2018, kurang kesetiaan kepada politik di kalangan pengundi muda, rasa tidak puas hati anak muda terhadap PH dan Umno/BN yang masih bergantung pada sokongan pengundi yang lebih tua.

Pun begitu, Adam berhujah pertambahan pengundi baru bukan sahaja meliputi kawasan bandar tetapi juga kawasan luar bandar, dengan aliran pengundian berkemungkinan kekal tidak berubah.

Adam, 32, berkata pergaulan di sekolah, kejiranan dan keluarga mempunyai pengaruh besar terhadap kecenderungan politik seseorang.

“(Pandangan politik orang muda) tidak semestinya apa yang mereka lihat di media sosial, tetapi apa yang mereka bincangkan dengan keluarga mereka, apa yang guru mereka beritahu mereka di sekolah, dan apa yang rakan dan jiran mereka akan bercakap mengenainya setiap hari.

“Tidak menghairankan untuk melihat bagaimana trend pengundian tidak akan seperti yang kita jangkakan sebelum ini.

“Kita tidak boleh begitu sahaja mengharapkan (orang muda mengundi secara progresif), kerana usia muda tidak akan menjamin inovasi atau sikap progresif,” tambah Adam, sambil menekankan PKR mesti bekerja keras menentang andaian naif tersebut.

Hubungan dengan Muda

Dengan kemunculan Muda sebagai pendatang baru di arena politik negara, ada yang mengatakan bahawa PKR dan Muda berkemungkinan akan bertembung pada masa hadapan untuk kerusi "campuran" yang sama.

Ini terbukti pada PRN Johor Mac lalu, apabila kerusi DUN Larkin yang menjadi rebutan PKR dan Muda menjadi penghalang cubaan dua parti itu untuk bekerjasama.

Ketua AMK yang baru menang pemilihan PKR baru-baru ini mengakui ia satu cabaran kerana kedua-dua parti bersaing mendapatkan sokongan demografi pengundi yang sama.

“Jujur saja, Muda berkongsi demografi yang sama dengan PKR. Akan sentiasa ada persaingan antara Muda dan PKR - jauh lebih sengit berbanding parti lain.

"Ramai kepimpinan Muda sekarang (juga) datang dari latar belakang (aktivisme pelajar) yang sama seperti saya," kata Adam.

Jelasnya, dia bersahabat baik dengan bekas setiausaha agung Muda Amir Hadi dan menghormati kebolehan pemimpin Muda Syed Saddiq Abdul Rahman sebagai ahli politik.

"Sangat menarik bagaimana kami akan membuktikan bahawa masing-masing kami lebih baik dii antara satu sama lain, supaya kami boleh memenangi demografi yang sama.

“Saya tidak pernah bermusuhan (dengan Muda) kerana menghormatinya. Saya fikir selagi ia sihat, persaingan adalah baik,” tambah Adam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS