Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Harga emas berlegar menghampiri paras terendah dalam empat minggu apabila kekuatan dolar Amerika Syarikat membatasi permintaan terhadap aset selamat itu. Ia berpunca daripada kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi dengan kemungkinan dasar monetari akan diperketatkan dengan agresif.

Harga spot emas meningkat 0.3 peratus kepada AS$1,823.69 seauns selepas jatuh ke paras terendah sejak 19 Mei lalu kepada AS$1,810.90 pada sesi dagangan awal.

Niaga hadapan emas Amerika Syarikat pula jatuh 0.4 peratus kepada AS$1,825.20.

Emas dan palladium menyaksikan penurunan ketara apabila dolar meningkat dengan jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS akan dinaikkan, sekali gus menjejaskan daya tarikan emas dan logam berharga lain.

Dolar masih lagi dilihat sebagai pilihan utama aset selamat, berada hampir pada paras tertinggi dalam tempoh dua dekad dan menarik keluar pelabur daripada pasaran emas yang ditetapkan pada harga mata wang Amerika Syarikat itu.

Pasaran saham Asia merudum selepas Wall Street secara rasmi memasuki kawasan pasaran penurunan dan pulangan bon mencecah paras tertinggi dalam dua dekad berikutan kebimbangan bahawa kenaikan kadar faedah yang agresif di Amerika Syarikat akan mengheret ekonomi terbesar dunia itu kepada kemelesetan.

Kadar faedah dan pulangan bon jangka pendek Amerika Syarikat yang lebih tinggi meningkatkan kos peluang untuk memegang emas, yang tidak menanggung faedah.

Lewat Isnin, jangkaan untuk kenaikan 75 mata asas pada mesyuarat Fed pada Jun melonjak kepada 96 peratus berbanding 30 peratus awal hari ini, kata Fedwatch Tool, CME. Kenaikan 75-bp akan menjadi yang terbesar sejak 1994.

Sementara itu, harga spot perak jatuh 0.9 peratus kepada AS$21.68 seauns, platinum susut 0.6 peratus kepada AS$967.67 dan palladium turun 1.3 peratus kepada AS$1,909.49.

-Reuters

Lihat Komen
ADS