Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Isu pencemaran di Sungai Chandong, Pelabuhan Klang, Selangor bukan perkara baru. 

Terbaru tular pemandangan sungai itu–yang merentasi sepanjang Pulau Indah–dengan airnya yang berwarna ungu.

Bagi seorang penduduk setempat, warnanya seperti bunga Sakura dari Jepun.

“Dekat Jepun, air sungai boleh jadi warna ungu bila banyak bunga sakura jatuh masuk dalam sungai ataupun sebab pantulan air dari pokok bunga sakura. 

“Tetapi dekat Malaysia ini kalau sungai jadi warna ungu itu lain pula ceritanya,” kata Amirul (bukan nama sebenar), nelayan sekitar yang berusia kira-kira 30-an.

Amirul, seperti dua lagi nelayan yang ditemui Malaysiakini, enggan mendedahkan nama sebenar mereka kerana bimbang sesuatu berlaku pada mereka. Menurut mereka, mereka sedang bergelut dalam konflik perebutan tanah di kawasan terbabit. 

Sementara itu, ketika ditemui Malaysiakini di depan pangkin rumahnya pada Isnin, Amirul berkata setiap kali melalui kawasan itu, bot kecilnya akan bertukar warna. 

“Kalau bot saya lalu sungai waktu bahan kimia tengah dilepaskan, balik nanti memang kena basuh bot itu sebab mesti akan bertukar warna, dah bersalut semua. 

“Macam dicat semula,” katanya berseloroh. 

Pada 12 Jun tersebar di media sosial satu hantaran berserta video dan gambar yang memaparkan air Sungai Chandong berwarna ungu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man pada 4 Jun menyebut pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sedang melakukan siasatan ke atas laporan pencemaran Sungai Chandong berdekatan Taman Perindustrian Pulau Indah. 

Pada 13 Jun, lebih seminggu kemudian, Tuan Ibrahim sekali lagi tampil dan menggesa JAS Selangor menyegerakan siasatannya. https://fb.watch/dFk3gGPoBA/

Setakat ini belum jelas bila siasatan itu akan selesai. Setakat semalam, seorang penguat kuasa JAS memberitahu Malaysiakini bahawa siasatan masih dijalankan.

Portal ini juga sedang cuba mendapatkan maklum balas Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan dan kilang-kilang sekitar kawasan itu.

Sementara itu, seorang lagi nelayan yang ditemui Malaysiakini berkata mereka sudah lali dengan permasalahan pencemaran sungai di situ.

“Dah bertahun dah jadi benda ini (pencemaran sungai), kita pun tahankan sahaja. Dah terbiasa, bila orang luar tengok mungkin itu yang nampak luar biasa.

 “Tapi bau dia itu memang saya boleh cakap memualkan. Kalau bahan kimia itu dilepaskan waktu malam, kami sampai boleh terbangun tidur sebab terhidu,” kata Ali (bukan nama sebenar).

 Katanya, bau busuk itu membuatkan mereka tidak selesa ketika keluar menjala di laut.

“Bila nak keluar ke laut untuk menjala, kami kadang-kadang kena tutup hidung dan tahan nafas sekejap sebab tak tahan bau sungai ini,” kata lelaki 40-an itu.

Bijak berselindung

Ali mendakwa, cecair yang dibuang itu biasanya dilepaskan menjelang air pasang dan surut.

“Bila air sudah pasang sepenuhnya, keadaan sungai akan jadi normal balik sebab semua bahan toksik itu dah sampai ke laut. 

“Macam tiada apa yang berlaku, itu ramai yang tak perasan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ali, penduduk di situ  memang perasan apa yang berlaku.

“Tetapi kami yang duduk betul-betul di tepi sungai ini memang perasan semua itu. Bau busuk sangat. Nampak air tukar jadi warna hitam, merah, ungu ikut jenis bahan yang dilepaskan,” ujarnya.

Terima hakikat

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Azman (bukan nama sebenar) mendakwa pihak yang mencemarkan sungai itu “kebal”.

“Tetapi tiada sesiapa berani ambil tindakan sebab mereka ‘kebal’ dan mereka bawa banyak pendapatan dekat Pulau Indah ini,” katanya.

Dia juga berkata, susulan pembuangan cecair itu, nelayan kini terpaksa mencari ikan di kawasan tengah laut.

“Nelayan nak menjala kat sini (muara) memang semua benda dah rosak,” kata lelaki 30-an itu.

Kontroversi di Sungai Chandong itu bukan pertama kali berlaku.

Pada September 2021 terdapat laporan mendakwa terdapat longgokan sampah dan sisa pepejal–kebanyakannya botol plastik, buangan industri dan pakaian terpakai–di kawasan itu.

Penyelaras Perikatan Nasional (PN) parlimen Klang, Nallan Dhanabalan dilaporkan berkata, kebanyakan baju terpakai dilonggokkan di jeti sebelum dibiarkan hanyut ke lautan melalui Sungai Chandong.

Lihat Komen
ADS