Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Monster, Young Boy’ dalam lejar UKSB merujuk pada Zahid, kata saksi
Diterbitkan:  Jun 16, 2022 3:45 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Bekas pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa catatan ‘monster’, ‘young boy’ dan ‘yb’ dalam lejar syarikat merujuk kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, ketika lejar itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid hari ini.

Lejar tersebut mengandungi butiran pembayaran yang dibuat oleh UKSB kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.

Semasa disoal Raja Rozela sama ada beliau menamakan Ahmad Zahid di dalam lejar itu, saksi menjawab: “Tidak”.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata, beliau menggunakan beberapa nama kod untuk Ahmad Zahid seperti ‘z’, ‘zh’, ‘yb’, ‘young boy’, ‘mon’ dan ‘monster’.

“Sebab saya menggunakan nama kod ‘monster’ adalah kerana semasa saya memasukkan lejar saya sedang makan snek Mamee Monster,” katanya.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-15, bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun memberitahu mahkamah bahawa 'KJ' dan 'bomoh' adalah antara perkataan yang direkodkan dalam lejar UKSB yang dibentangkan dalam perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri itu.

Tan juga berkata beliau mengadakan nama kod itu kerana bimbang jika lejar itu terdedah kepada orang lain.

Raja Rozela: Ada sesiapa tahu tentang nama kod?

Tan: Tiada siapa, hanya saya.

Ketika membaca pernyataan saksinya, Tan berkata beliau menyimpan rekod semua pembayaran yang dibuat kepada Ahmad Zahid sejak 2014 hingga 2018 untuk rekod peribadinya kerana jumlah wang tunai yang terlibat adalah besar.

“Saya menyediakan lejar menggunakan Microsoft Excel pada komputer riba peribadi saya. Saya bukan seorang akauntan, jadi lejar itu hanyalah rekod wang masuk, wang keluar,” katanya.

Beliau berkata entri utama yang terdapat dalam lejar itu ialah amaun yang tersedia untuk setiap bulan, amaun yang dikeluarkan, dan nama atau nama panggilan penerima yang dimaksudkan.

“Individu yang dinamakan dalam lejar itu termasuk Menteri, ahli politik dan penjawat awam. Selalunya, saya akan masukkan catatan setiap hari tetapi pada hari-hari sibuk, saya akan catat pada sehelai kertas terlebih dahulu sebelum memasukkan butiran dalam lejar pada keesokan harinya atau pada hari berikutnya,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 daripada syarikat yang sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung.

- Bernama

Lihat Komen
ADS