Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta dari UKSB
Diterbitkan:  Jun 17, 2022 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan menerima RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) semasa berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dia berkata dakwaan itu - yang dibuat di mahkamah - adalah palsu.

"Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya," katanya dalam satu kenyataan media.

Muhyiddin mengulas keterangan Tan - bekas pengurus tadbir UKSB - semasa perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Sistem Visa Asing (VLN) hari ini.

Dalam keterangannya, Tan telah mengenal pasti Muhyiddin sebagai TSM yang dicatatkan dalam lejar UKSB.

Dia mendakwa RM1.3 juta itu dipindahkan kepada Muhyiddin secara tunai dalam tiga transaksi pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.

Dia juga berkata projek VLN itu terletak di bawah bidang kuasa Muhyiddin selepas mengambil alih Kementerian Dalam Negeri daripada Zahid.

Muhyiddin mempertikaikan dakwaan itu dengan berkata pada Julai 2018, dia telah menjalani pembedahan kanser dan telah bercuti selama beberapa bulan.

"Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.

"Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas," katanya.

Dia juga berkata semasa sedang bercuti untuk pulih daripada kanser, Dr Mahathir Mohmad adalah pemangku menteri dalam negeri.

Muhyiddin seterusnya berkata dia tidak pernah dipersoalkan oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan itu dan berharap ia akan dijelaskan oleh pihak pendakwaan dalam kes Zahid.

Katanya, dia bersedia untuk disiasat oleh SPRM berhubung perkara ini.

Lihat Komen
ADS