Paling Popular
Terkini

Lazimnya ketika senja, pengunjung di Kampung Genting di Pulau Tioman, Pahang dihidangkan dengan pemandangan yang indah sambil menyaksikan matahari terbenam di Laut China Selatan.

Namun bagi Azman Awang Mohd yang tinggal di Kampung Genting sejak sekian lama, pemandangan sebegitu mungkin hanya tinggal kenangan jika pembinaan lapangan terbang yang tidak jauh dari perkampungan di tepi pantai itu menjadi kenyataan.

"Orang ramai datang ke sini untuk melihat alam semula jadi... Jika mereka bina lapangan terbang depan kampung kami, hanya itulah yang akan dilihat oleh pengunjung," kata penghulu Kampung Genting berusia 52 tahun itu .

Azman adalah salah seorang penduduk Pulau Tioman yang memberitahu Malaysiakini bahawa mereka membantah projek itu kerana bimbang lapangan terbang baru itu dan kemasukan pelancong akan menjejaskan pulau berkenaan, yang terkenal dengan aktiviti menyelam dan hutan tropikanya, malah lokasi melihat ikan paus.

Pada 1994, Pulau Tioman diwartakan sebagai taman laut di bawah Akta Perikanan 1985, yang memberikan perlindungan khas kepada hidupan liar dan alam sekitar.

Perkongsian pelbagai hala yang dikenali sebagai Coral Triangle Initiative on Coral Reefs, Fisheries, and Food Security (CTI-CFF) meletakkan Tioman sebagai "Kategori 4 - Tapak Utama Serantau" - satu-satunya kawasan perlindungan marin di Semenanjung Malaysia dengan penarafan sedemikian.

Industri pelancongan mempunyai impak yang rendah terhadap alam sekitar di situ. Hanya sebuah hotel komersial dibina manakala kebanyakan pelancong menginap di penginapan bajet - kebanyakannya chalet - yang menghiasi pantai berkenaan. Pulau itu hanya boleh diakses menaiki feri.

Pendukung kuat projek

Sebuah lapangan terbang kecil dibina pada penghujung 1980-an di Kampung Tekek, kampung terbesar di pulau itu.

Dengan panjang hanya 992m dan bersebelahan dengan bentuk muka bumi yang berbukit, lapangan terbang ini hanya boleh menerima pesawat ringan.

Rundingan mengenai pembinaan lapangan terbang baru yang lebih besar bagi menerima pesawat komersial untuk membolehkan ketibaan pelancong yang lebih ramai telah bermula sejak 2004.

Pada 2009, rundingan sedemikian telah dihentikan oleh menteri pengangkutan ketika itu, Ong Tee Keat berikutan kebimbangan terhadap alam sekitar.

Lapangan terbang sekarang hanya mampu menerima pesawat ringan

Bagaimanapun, rundingan itu dihidupkan semula pada 2018 oleh Berjaya Group, pemilik hartanah terbesar di pulau itu.

Pengerusi eksekutif kumpulan itu, Vincent Tan berkata pada masa itu, lapangan terbang berkenaan akan menelan belanja sehingga RM1.2 bilion.

Kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail meluluskan projek itu pada Oktober 2019 . Ia kini sedang menjalani pemeriksaan kawal selia di peringkat persekutuan.

Pemaju projek ialah Tioman Infra Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tioman Hill Resort Sdn Bhd yang 50 peratus dimiliki oleh Berjaya Group.

Selebihnya dimiliki oleh kerabat diraja Pahang melalui Aimvesco Sdn Bhd dan Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Taman laut mengecil

Mengikut terma rujukan yang disemak untuk laporan penilaian kesan alam sekitar lapangan terbang berkenaan yang dilihat oleh Malaysiakini, projek itu berkeluasan 94.49 hektar, di mana 65.77 melibatkan tanah tebus guna dari kedalaman 5m hingga 30m.

Bahagian daripada projek yang melibatkan tanah tebus guna ini terletak di perairan dalam sempadan Taman Laut Tioman.

Menurut laporan draf Jabatan Perancang Bandar dan Desa ( PlanMalaysia ) bertajuk “Rancangan Kawasan Khas Gugusan Pulau Tioman 2030 ”, kawasan terbabit juga merupakan kawasan sensitif alam sekitar (ESA) Tahap 1.

Di bawah garis panduan PlanMalaysia, kawasan ESA Tahap 1 tidak sepatutnya dibangunkan.

Bukit yang memisahkan Kampung Paya dan Kampung Genting ini akan diratakan jika projek lapangan terbang itu diteruskan

Untuk meneruskan projek lapangan terbang ini, status taman laut Tioman perlu diubah. Pada Julai tahun lepas, kerajaan negeri mengadakan mesyuarat melibatkan pelbagai pihak berkepentingan bagi menggariskan semula sempadan Taman Laut Tioman.

Menurut mereka yang tahu dengan mesyuarat itu, bahagian perancangan ekonomi Pahang mengesyorkan dua penyelesaian.

Pertama ialah menggaris semula sempadan taman laut secara drastik, mengehadkannya kepada pulau-pulau kecil atau batuan, dengan kebanyakan pantai utama di pulau Tioman berada di luar sempadan taman.

Pilihan kedua mengekalkan kawasan besar di bahagian barat dan pantai barat daya pulau dalam taman laut berkenaan yang akan merangkumi Kampung Genting dan Kampung Paya, di mana lapangan terbang itu akan dibina.

Kebimbangan alam sekitar

Sesetengah agensi kerajaan percaya langkah menyentuh taman laut akan mendedahkan kawasan sensitif alam sekitar kepada eksploitasi dan pemusnahan .

Dalam surat menyurat dengan perunding EIA projek berkenaan, Jabatan Perikanan cawangan Pahang menyatakan projek itu akan menyebabkan hakisan pantai akibat perubahan hidrologi dan pengurangan kualiti air semasa fasa pembinaan.

Jabatan Perikanan juga bimbang dengan kemusnahan terumbu karang, dengan menyatakan bahawa Taman Laut Tioman mempunyai lebih banyak spesis karang berbanding taman laut lain di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Memetik kajian 2006 oleh Pusat Penyelidikan Maritim Universiti Malaysia (UMMReC), Jabatan Perikanan berkata tapak projek itu mengandungi 306 spesies karang, 100 makroinvertebrata, dan tiga jenis kerang gergasi, 209 spesies ikan karang dan tiga jenis rumput laut.

“Dua puluh lima spesies karang diklasifikasikan sebagai sangat jarang ditemui. Ini menunjukkan kawasan ini sangat unik dan penting sebagai kawasan perlindungan kerana kepelbagaian spesies karang yang besar,” menurut Jabatan Perikanan.

Jabatan itu juga memberi amaran bahawa pencemaran bunyi akibat pembinaan dan operasi lapangan terbang itu akan menghalang pendaratan penyu.

Pantai Juara di sebelah bahagian timur Tioman menempatkan kawasan perlindungan penyu.

Menurut mereka yang tahu mengenai mesyuarat persempadanan semula Taman Laut Tioman itu, bahagian Pengurusan Biodiversiti Kementerian Tenaga dan Sumber Asli turut menyatakan kebimbangan mengenai projek berkenaan.

Difahamkan dengan keluasan 402.36 kilometer persegi , Taman Laut Tioman merupakan 36.3 peratus daripada kawasan marin yang dilindungi di Semenanjung Malaysia.

Oleh itu, bahagian itu menyatakan penilaian ekosistem menggunakan metodologi Ekonomi Ekosistem dan Biodiversiti (TEEB) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa perlu dijalankan sebelum membenarkan persempadanan semula taman laut daripada bergantung kepada laporan EIA sahaja.

Ia juga menyatakan bahawa Malaysia tidak pernah mengusik kawasan marin yang dilindungi sebelum ini dan tindakan itu hanya akan menjadi contoh yang buruk .

Sebarang pindaan ke atas sempadan taman laut itu berada di bawah bidang kuasa menteri pertanian dan industri asas tani , yang kini menjalankan fungsi dan kuasa di bawah Akta Perikanan 1985 .

Mampukah Tioman menghadapinya?

Dengan keupayaan menampung pesawat Airbus 320 dan Boeing 737, lapangan terbang baru itu dijangka akan meningkatkan ketibaan pelancong ke Tioman, termasuk mereka yang menaiki penerbangan secara terus dari China dan India .

Menurut laporan PlanMalaysia's Special Area Planning on Tioman Archipelago 2030, purata ketibaan pelancong antara 2013 dan 2017 ialah seramai 237,891 orang.

Tioman Infra Sdn Bhd menganggarkan bahawa dengan adanya lapangan terbang baru itu , ketibaan pelancong setiap tahun boleh meningkat empat kali ganda menjelang 2036.

Ini menimbulkan persoalan sama ada Tioman, sebuah pulau kecil seluas 136 kilometer persegi dengan bentuk muka bumi berbukit, mampu menampung kemasukan pelancong, terutamanya dari aspek pengurusan air, elektrik dan kumbahan.

Kumpulan perbualan Reef Check Malaysia, dalam dokumen dasarnya bertajuk "Tioman sebagai destinasi pelancongan mampan" yang diterbitkan pada 2020, memberi amaran bahawa pembinaan lapangan terbang baru itu akan menyebabkan pelancongan yang tidak terkawal.

Reef Check Malaysia memberi amaran bahawa terdapat bukti bahawa infrastruktur sedia ada tidak dapat menampung lebih ramai pelancong.

Kumpulan itu juga menyebut mengenai kekurangan air berkala, paras E. coli yang tinggi di sesetengah perairan disebabkan kekurangan sistem rawatan kumbahan berpusat, insinerator (15 tan) yang beroperasi pada tahap kapasiti dan gangguan bekalan eletrik sekali sekala akibat kapasiti penjanaan elektrik yang terhad (7.4). megawatt).

Menurutnya, infrastruktur pengangkutan yang akan meningkatkan ketibaan pelancong ke Tioman akan menyebabkan lebih banyak pembinaan resort baru dan infrastruktur sokongan.

"Kelodak yang dilepaskan ke laut akibat pembersihan di darat akan menyekat terumbu karang dan mengurangkan kualiti air, seterusnya menjejaskan kesihatan karang. Sebilangan besar pelancong akan menjana lebih banyak sisa, menambah kepada tahap pencemaran sedia ada," tambahnya.

Menurut kumpuan itu, elancongan yang tidak terkawal telah memaksa penutupan sementara destinasi percutian marin yang serupa seperti Boracay, Filipina dan Teluk Maya, Thailand bagi kerja-kerja pemulihan alam sekitar.

Reef Check Malaysia memberi amaran bahawa terdapat bukti bahawa infrastruktur sedia ada tidak dapat menyokong lebih ramai pelancong.

Kumpulan itu turut menyebut gangguan bekalan air berkala, paras E. coli yang tinggi di sesetengah perairan disebabkan kekurangan sistem rawatan kumbahan berpusat, insinerator (15 tan) yang beroperasi pada kapasiti dan bekalan elekrik kadang kala terputus akibat kapasiti penjanaan elektrik yang terhad (7.4 megawatt).

katanya, infrastruktur pengangkutan yang bertujuan meningkatkan ketibaan pelancong ke Tioman akan membuka jalan ekpada pembinaan resort baru dan infrastruktur sokongan.

"Kelodak yang dilepaskan ke laut daripada pembersihan darat akan menyekat terumbu karang dan mengurangkan kualiti air, seterusnya menjejaskan kesihatan karang. Sebilangan besar pelancong akan menjana lebih banyak sisa, menambah kepada tahap pencemaran sedia ada," tambahnya.

Pelancongan yang tidak dikawal, kata kumpulan itu, telah memaksa penutupan sementara destinasi percutian marin yang serupa seperti Boracay, Filipina dan Teluk Maya, Thailand untuk pemulihan semula jadi.

Reef Check Malaysia menyokong model "volume rendah, nilai tinggi" untuk memastikan bilangan pelancong yang kecil dan alam sekitar tetap terpelihara.

Dan sekiranya mahu juga lapangan terbang baru itu, kumpulan itu mengesyorkan agar ia dibina di tanah besar untuk meluaskan faedah dan mengelakkan kerosakan di Tioman.

Orang tempatan tak nampak faedahnya

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk Tioman yang menentang projek lapangan terbang itu telah mengadakan beberapa protes.

Pengunjung juga disambut dengan kain rentang bantahan di jeti Kampung Genting.

Sebilangan besar penduduk atau pekerja di Tioman yang ditemui Malaysiakini membantah pembinaan lapangan terbang itu atas sebab alam sekitar.

Bagaimanapun, ada yang tidak percaya bahawa lapangan terbang itu akan membawa sebarang faedah ekonomi atau sosial kepada 3,700 penduduk pulau itu.

Laporan ini dihasilkan dengan sokongan dari Kesatuan Eropah. Kandungan cerita adalah tanggungjawab sepenuhnya di bawah Internews dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Kesatuan Eropah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS