Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Formula Najib untuk selamatkan negara dari inflasi
Diterbitkan:  Jun 22, 2022 11:53 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

KATA MP l Dari bulan April 2021 lagi saya sudah memberi amaran kepada kerajaan PN ketika itu bahawa kawalan harga ke atas harga ayam dan telur tanpa menyelesaikan masalah pokok iaitu kos dedak dan kos operasi disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja serta kenaikan harga elektrik hanya akan menyebabkan kekurangan bekalan dan harga yang lebih tinggi.

Tapi amaran itu tidak dihiraukan.

Akibatnya, ramai penternak dan pengeluar ayam dan telur lingkup sebab dipaksa kerajaan untuk jual pengeluaran mereka di bawah harga kos secara berpanjangan. Malah, pengeluaran dan bekalan telah turun.

Apabila bekalan kurang daripada permintaan, maka harganya akan naik.

Kerajaan hari ini juga telah memansuhkan subsidi ayam dan telur yang diberi sejak Februari lalu.

Pengeluar yang masih beroperasi pula sudah tentu akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga dengan lebih tinggi setelah harga siling dimansuhkan untuk tebuskan kerugian yang dialami sejak April tahun lalu.

Saya bukan ‘peminat’ bagi subsidi pukal sebab sistem subsidi di negara ini lebih memanfaatkan orang kaya. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz hari ini pun sudah faham.

Dia dipetik sebagai mengakui bahawa “bagi setiap RM1 subsidi minyak, kumpulan atasan T20 akan dapat 53 sen, manakala kumpulan marhaen B40 hanya mendapat 15 sen.”

Penurunan 65 peratus jualan petrol RON97 juga merupakan bukti bahawa sebahagian besar orang kaya dan mereka yang berkemampuan telah bertukar minyak kepada RON95 untuk menikmati subsidi kerajaan.

Ini ibarat orang kaya mengambil makanan dari “food bank”.

Hari ini, kerajaan memberi subsidi sekitar RM2.50 bagi setiap satu liter RON95 yang dijual pada harga RM2.05.

Sebab itu, harga minyak RON95 Malaysia adalah antara 10 paling murah di dunia - jauh lagi murah banding Arab Saudi dan UAE.

Bermaksud jika seorang dari golongan T20 mengisi 50 liter minyak RON95 bagi kereta mewahnya, kerajaan sebenarnya memberi subsidi sebanyak RM125 setiap kali orang kaya isi minyak.

Sekiranya orang kaya ini isi minyak tiga kali sebulan bermaksud kerajaan memberi bantuan RM4,500 setahun bagi orang kaya - lagi tinggi berbanding BR1M kepada B40 dan M40.

Kami pernah menyelesaikan masalah dan ketidakadilan ini ketika kerajaan BN dahulu dengan mengapungkan harga minyak.

Penjimatan itu kemudiannya disalurkan kepada pemberian BR1M yang dinaikkan dan diperluaskan jumlah penerima dari RM500 ke RM1,200 dan akhirnya ke RM2,000 setahun pada masa PRU14.

Namun melihat kadar inflasi yang tinggi yang dialami seluruh dunia sekarang, ia tidak sesuai untuk kita tarik subsidi minyak secara sepenuhnya pada ketika ini.

Bagaimanapun, kerajaan boleh pertimbangkan untuk naikkan harga minyak RON95 sebanyak 10 sen atau 20 sen.

(Tetapi jangan sentuh harga diesel pada ketika inflasi masih tinggi sekarang sebab ianya berkait langsung dengan kos pengeluaran, kos pengangkutan dan akhirnya akan memberi lebih tekanan kepada kadar inflasi).

Kerajaan juga patut naikkan duti eksport dan cukai durian runtuh bagi sektor minyak sawit pada ketika dunia masih kekurangan bekalan dan harganya tinggi sebab ia dibayar oleh pembeli (iaitu orang asing) dan juga syarikat-syarikat perladangan besar - bukan dibayar oleh peneroka.

Penjimatan subsidi 10 sen atau 20 sen bersama hasil tambahan cukai sawit serta penjimatan dari tidak lagi memberi subsidi untuk ayam dan telur boleh disalurkan untuk diberi sebagai bantuan tunai kos sara hidup bagi golongan B40 dan T40 setiap 3 bulan selagi kadar inflasi masih tinggi.

Golongan T20 tak kisah dan tak terkesan jika harga makanan tinggi tapi ia merupakan tekanan yang besar bagi golongan B40 dan sebahagian besar golongan M40.

Sudah tentu pemberian bantuan tunai kos sara hidup setiap tiga bulan akan melegakan tekanan kos makanan bagi golongan B40 dan M40.

Selain itu, kerajaan juga perlu selesaikan masalah kekurangan tenaga kerja secepat mungkin sebab ia adalah antara faktor utama kekurangan pengeluaran dan kenaikan harga barang.


NAJIB RAZAK adalah ahli parlimen Pekan dan bekas perdana menteri Malaysia.

Tulisan ini pertama kali disiarkan di media sosialnya. Ia merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS