Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi minyak masak kekal dengan dana RM4 bilion - PM
Diterbitkan:  Jun 22, 2022 4:52 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub menafikan bahawa kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhan. Sebaliknya, dia berkata, subsidi minyak masak berpaket masih dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini.

Menurut Ismail Sabri, peruntukan subsidi minyak masak tahun ini jauh lebih tinggi berbanding RM500 juta yang diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion pada 2021.

"Subsidi ditanggung kerajaan untuk minyak masak berpaket bagi membolehkan ia dijual dengan harga RM2.50 sekilogram ketika ini, berbanding harga pasaran sebenarnya iaitu RM9 sekilogram bagi kegunaan domestik.

"Ertinya subsidi minyak masak paket yang bermula sejak Jun 2007 masih dilaksanakan kerajaan hari ini dan tidak ditarik balik seperti digambarkan sesetengah pihak," katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung di televisyen, hari ini.

Menurutnya, minyak masak kampit berharga RM2.50 itu adalah untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40.

“Minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan ialah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan, melebihi daripada keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan," katanya yang turut menjelaskan mengenai kekeliruan berhubung subsidi minyak masak.

Pada sidang media itu, Ismail Sabri turut menjelaskan subsidi untuk minyak masak berbotol satu kg, dua kg, tiga kg dan lima kg tidak diteruskan bermula 1 Julai ini kerana ia adalah program subsidi sementara yang diperkenalkan kerajaan sewaktu pandemik Covid-19 bagi membantu Keluarga Malaysia yang terkesan.

Menurutnya program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol yang diperkenalkan pada Ogos 2021 pada asalnya hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan, namun program itu bersambung selepas tiga bulan.

Bagaimanapun katanya kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi itu banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

"Sehubungan itu, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi bagi minyak masak berbotol kerana tidak lagi menepati objektif awal program untuk membantu golongan terkesan ketika pandemik.

“Sekarang sudah tidak ada pandemik, maksudnya bukan tidak ada (Covid-19), kita sudah di fasa peralihan endemik. Jadi tiada keperluan lagi macam masa pandemik,” katanya.

"Untuk itu, subsidi minyak masak kampit sahaja yang akan diteruskan dan kerajaan yakin subsidi sebanyak 60,000 tan metrik sebulan adalah mencukupi untuk kegunaan Keluarga Malaysia," kata Ismail Sabri.

Sementara itu Bernama memetik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata bekalan minyak masak berbotol dan paket bersubsidi akan terus dipantau bagi memastikan harga terkawal dan tiada unsur ketirisan.

"Penguatkuasaan akan dilipat gandakan bagi memastikan tiada ketirisan dalam penggunaan minyak masak," katanya kepada pemberita selepas sidang media Ismail Sabri.

"Kita ada lebih 2,000 anggota penguat kuasa, 72 Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) yang dapat bergerak pantas apabila ada aduan dan hampir 1,000 pegawai pemantau harga yang membantu memantau keadaan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dalam penggunaan minyak masak," katanya.

Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan aktif membuat advokasi supaya pengguna faham dengan keadaan dan membantu supaya menghadkan pembelian minyak masak kampit satu kilogram yang bersubsidi.

Lihat Komen
ADS