Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian: Banjir lebih kerap di KL jika perubahan iklim tidak dibendung
Diterbitkan:  Jun 22, 2022 7:34 PM
Dikemaskini: 11:34 AM

Kuala Lumpur dijangka berdepan banjir lebih kerap menjelang 2050 jika tiada perubahan dalam membendung perubahan iklim.

Ini disebabkan peningkatan hujan lebat, akibat daripada suhu yang lebih panas.

Walau bagaimanapun, dalam senario iklim terbaik, dengan pelepasan karbon distabilkan, peningkatan kekerapan banjir boleh dikurangkan separuh.

Ini menurut laporan Water Safe Cities, yang melihat kesan banjir limpahan sungai di bandar C40 menjelang 2050.

C40 ialah rangkaian datuk bandar hampir 100 bandar terkemuka dunia yang bekerjasama dalam tindakan segera membendung perubahan iklim.

Selain banjir akibat ribut, Kuala Lumpur juga terdedah kepada banjir akibat limpahan air sungai.

Dalam senario terburuk, kajian mendapati, kos banjir akibat limpahan air sungai di Kuala Lumpur diunjurkan meningkat sebanyak 124 peratus menjelang 2050.

Jika hari ini banjir akibat limpahan air sungai di Kuala Lumpur berharga AS$80 (RM352.40) per kapita setahun, pada 2050 di bawah senario sama seperti hari ini, ia akan menelan kos AS$180 (RM792.90).

Bagaimanapun, jika pelepasan karbon dan kesan perubahan iklim distabilkan, kosnya akan lebih rendah iaitu AS$149 (RM656.34) per kapita setahun.

Jumlah penduduk Kuala Lumpur yang terjejas juga akan meningkat sebanyak 48 peratus.

Hari ini, kajian menunjukkan bahawa 0.91 peratus penduduk bandar ini terdedah kepada banjir akibat limpahan air sungai.

Jika tiada apa-apa perubahan untuk membendung perubahan iklim, menjelang 2050, 1.36 peratus penduduk akan terdedah.

Risiko sederhana kemarau

Kuala Lumpur adalah salah satu daripada beberapa bandar Asia Tenggara dan Asia Selatan yang paling terdedah kepada banjir teruk akibat perubahan iklim, kata kajian itu.

Kuala Lumpur juga dijangka mempunyai risiko sederhana kemarau, tetapi kesan yang tepat tidak dapat dikira kerana kekurangan data, kata C40.

Ia menambah bahawa perubahan iklim bandar juga akan memberi kesan kepada ketidaksaksamaan populasi, dengan bandar di Global Selatan sepuluh kali lebih berkemungkinan terjejas oleh banjir dan kemarau berbanding penduduk di Global Utara.

Ini kerana bandar-bandar di Global Selatan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, mendedahkan lebih ramai orang dan meletakkan lebih banyak nyawa dalam risiko, kata C40.

"Penyelidikan C40 mencadangkan bahawa banjir akibat limpahan sungai dan pantai akan menimbulkan kesan ekonomi, kesihatan dan sosial yang besar yang akan menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia," katanya.

Pada skala global, bagi bandar C40, banjir akibat limpahan sungai dijangka menelan kos AS$136 bilion (RM599.08 bilion) dalam KDNK setiap tahun dalam tempoh tiga dekad akan datang, menurut kajian itu lagi.

Kemarau yang lebih kerap dan teruk akan meningkatkan kehilangan air di bandar C40 sebanyak 26 peratus dan akan menelan kos ganti rugi AS$111 bilion (RM488.95 bilion) setahun dalam tempoh tiga dekad akan datang.

"Kenaikan paras laut, banjir dan kemarau adalah tiga daripada risiko paling ketara berkaitan iklim yang dihadapi oleh bandar hari ini," kata Mark Watts, Pengarah Eksekutif C40 Cities.

"Bandar mempunyai banyak alat dan pengetahuan yang boleh digunakan untuk memastikan mereka bersedia dengan secukupnya untuk menghadapi realiti krisis iklim, tetapi tindakan yang berkesan bermula dengan pemahaman tentang skop dan skala cabaran," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS