Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lejar UKSB: Bekas AG kata kertas siasatan tiada 'maklumat mikro'

Kertas siasatan membabitkan sistem Visa Luar Negara (VLN) tidak mengandungi "maklumat mikro" yang diperlukan untuk mendakwa individu lain, selain bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

“Maklumat mikro” yang dimaksudkan, menurut bekas peguam negara Tommy Thomas, adalah lejar rahsia Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang mengandungi nama kod dan butiran dakwaan pembayaran sogokan oleh syarikat itu kepada beberapa tokoh terkemuka antara 2014 dan 2018.

Thomas berkata dia tidak terkejut dengan pendedahan yang dibuat di mahkamah meskipun lewat.

“Saya fikir ini menjelaskan kepada anda mengapa perbicaraan sangat menakjubkan. Sama ada perbicaraan jenayah atau perbicaraan sivil, sentiasa ada bukti yang mengejutkan, itulah sebabnya tiada sesiapa boleh bersedia sepenuhnya untuk sesuatu perbicaraan.

“Apabila kertas siasatan disediakan, dan apabila syor akan mendakwa tertuduh di sini (Zahid)... tidak mungkin kita akan mendapat maklumat mikro seperti itu yang hanya akan muncul pada tahun-tahun perbicaraan. Saya akan menjawab begitulah perbicaraan.

'Kes jadi lebih jelas semasa perbicaraan'

"Jumlah bukti, volume pembuktian dan intensiti kes menjadi lebih jelas semasa perbicaraan, bukan pada peringkat di mana anda memfailkan pernyataan tuntutan dalam kes sivil atau apabila anda membuat pendakwaan," katanya semasa program bual bicara yang disiarkan di YouTube malam semalam.

Thomas muncul dalam rancangan bual bicara peguam dan YouTuber Ang Woei Shang untuk bercakap mengenai memoirnya “My Story: Justice in the Wilderness” versi bahasa Cina.

Selain Zahid, tokoh terkenal yang dinamakan dalam lejar UKSB ialah beberapa pemimpin Umno termasuk Menteri Pertahanan Kanan, Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican.

Ia juga menamakan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, Presiden Warisan Shafie Apdal dan bekas menteri luar Anifah Aman.

Thomas mendakwa kerana ringkasnya kertas siasatan, dia tidak mengetahui penglibatan individu lain ketika membuat keputusan untuk mendakwa Zahid.

“Secara peribadi, saya tidak tahu semua perkara ini apabila saya mengambil keputusan untuk mendakwa tertuduh tertentu.

“Kertas siasatan akan jadi kurang terperinci, hanya mengatakan (terdapat) syor prima facie untuk mendakwa. Kemudian saya akan mengkaji dokumen makro tersebut dan membuat keputusan. Kami tidak akan pergi ke butiran mikro sebegitu,” katanya.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Lihat Komen
ADS