Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasukan petugas khas tiada kuasa siasat buku saya - Tommy

Bekas peguam negara, Tommy Thomas berkata dia membuat keputusan untuk tidak memberikan kerjasama dengan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat bukunya "My Story: Justice in the Wilderness" disebab pasukan itu tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Dia membandingkan hal itu dengan siasatan pihak polis, yang menurutnya mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Setakat pasukan petugas khas berkenaan, seperti yang anda tahu ia telah ditubuhkan beberapa bulan lalu, tetapi saya mengambil pendirian bahawa pasukan petugas itu tidak mempunyai asas undang-undang.

“Sedangkan, jika anda melihat, apabila polis menyoal saya, mereka mempunyai hak di bawah undang-undang untuk menyoal orang ramai dan saya gembira dapat bekerjasama dengan mereka (pihak polis).

"Tetapi, pada pendapat saya pasukan petugas khas tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang. Oleh itu, saya memutuskan untuk tidak mengambil bahagian atau bekerjasama dengan mereka dalam apa cara sekalipun,” kata Thomas.

Dia berkata demikian dalam rancangan bual bicara atas talian yang dihoskan oleh peguam dan YouTuber Ang Woei Shang, malam tadi.

Terdahulu, Ang bertanya Thomas apakah tindakan undang-undang yang telah diambil terhadapnya sejak bukunya dilancarkan pada awal 2021.

Saman fitnah Najib

“Saya rasa terdapat lebih 200 laporan polis dibuat, mungkin pada bulan pertama selepas (buku) versi Inggeris diterbitkan.

“Dan, akibatnya, saya dipanggil oleh polis dan mereka kata bahawa mereka sangat profesional. Mereka bertanya kepada saya beberapa soalan. Saya ditemani oleh peguam, dan juga ramai orang lain yang terlibat dalam penghasilan buku itu,” kata Thomas.

Sementara itu, bekas peguam negara itu berkata saman fitnah terhadapnya yang difailkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak, masih menunggu untuk perbicaraan.

"Akan ada perbicaraan dan itu berkaitan dengan pembunuhan Altantuya (Shaariibuu), yang saya maksudkan dalam buku itu," katanya.

Najib memfailkan saman itu pada Oktober tahun lepas, mendakwa Thomas dalam buku itu mengaitkannya secara langsung dengan Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dalam ke pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Najib berkata Thomas, melalui buku itu, menyindir bahawa dia bersalah atas konspirasi untuk membunuh Altantuya, didakwa mengelirukan rakyat berhubung episod itu dan oleh itu tidak layak untuk memegang jawatan politik atau mana-mana jawatan.

Najib juga berkata Thomas dalam bukunya mengatakan bekas perdana menteri itu mempunyai agenda untuk membunuh Altantuya dan didakwa telah mempengaruhi Sirul yang kini ditahan di Australia.

Bagaimanapun, Thomas menegaskan dia tidak menyesal menerbitkan buku itu dan telah menjangkakan respons tersebut.

"Saya menjangkakan beberapa reaksi (daripada buku itu). Tetapi sejujurnya, saya terkejut dengan kritikannya<‘ katanya.

Selain itu Thomas mendakwa beberapa laporan polis terhadapnya dibuat oleh individu yang tidak membaca buku berkenaan.

"Jelas sekali, laporan polis di mana mereka yang membuat tidak berpeluang membeli atau membaca buku itu kerana laporan dibuat begitu cepat selepas buku diterbitkan.

“Saya tidak menyesal (tetapi) apa yang saya tidak faham mengapa orang di Malaysia (tidak) menggunakan hak mereka untuk tidak membeli atau membaca buku itu.

"Bukan mesti atau wajib membaca atau membeli buku itu, jadi ia hanya satu perkara yang boleh dielakkan atau diabaikan. Tidak ada sebab untuk kritikan dan kutukan seperti itu secara terbuka," kata Thomas.

Lihat Komen
ADS