Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan bebaskan majikan amah mati akibat didera kekal
Diterbitkan:  Jun 23, 2022 3:30 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan membebaskan S Ambika daripada dakwaan membunuh pembantu rumah warga Indonesianya, Adelina Lisao pada 2018.

Mahkamah Tinggi pada mulanya memutuskan untuk membebaskan Ambika daripada tuduhan membunuh pada April 2019. Mahkamah Rayuan turut mengekalkan keputusan tersebut pada September 2020.

Ambika didakwa membunuh Lisao, 28, di rumahnya di Medan Kota Permai 2, Bukit Mertajam, pada 10 Feb 2018.

Hari ini panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan.

"Kami amat kecewa dengan hala tuju kes ini untuk Adelina Lisao.

"Pendakwaan Malaysia telah gagal, dan malangnya, ini bermakna kita terus memupuk budaya bebas daripada hukuman terhadap pelaku dalam kalangan majikan pekerja domestik," kata Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene A Das kepada Malaysiakini.

“Kami akan terus mencari keadilan untuk Adelina,” katanya lagi.

Adelina mengalami kecederaan akibat didera secara fizikal dan dibiarkan tidur di tempat letak kereta di rumah majikannya sebelum mangsa diselamatkan dengan campur tangan Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim pada 10 Feb 2018.

Bagaimanapun wanita berusia 26 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan organ pada hari berikutnya, ketika sedang dirawat di Hospital Bukit Mertajam.

Tenaganita berkata pada masa itu Lisao didera dengan kejam dan teruk sehingga membawa kepada kematiannya.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono yang hadir di mahkamah hari ini dilihat tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.

"Ini memberi impak kepada hak asasi manusia dan juga sukar untuk diterima oleh keluarga mangsa. Tiada siapa yang menanggung tanggunjawab dalam kes ini.

"Sukar untuk memahami bagaimana ia berlaku. Kami tahu Adelina meninggal dunia selepas dibawa dari rumah majikannya dalam keadaan yang teruk di, mana seluruh badannya mengalami kecederaan dan tiada siapa yang membawanya ke hospital.

"Kini mahkamah mendapati tiada sesiapa dipertanggungjawabkan.

"Ini sangat sukar untuk rakyat Indonesia faham. Bagaimana dia boleh mati dalam keadaan tragik seperti itu tanpa sesiapa yang bertanggungjawab," katanya kepada media di luar mahkamah susulan keputusan hari ini.

Lihat Komen
ADS