Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Saya hadapi tekanan dengan semangat Melayu 'membakar di dada'

Eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dalam keterangannya berkata dia mengalami tekanan besar susulan siasatan rasuah terhadap projek terowong dasar laut Pulau Pinang RM6.3 bilion.

Zarul yang merupakan saksi pendakwaan ke-23 hari ini berkata, namun semangat Melayu yang membakar dalam dirinya membolehkannya menempuhi kesukaran dan kembali berjaya sebagai usahawan.

Dia berkata demikian ketika memberi keterangan lisan dalam perbicaraan rasuah terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dia mendakwa selepas kes itu menjadi pengetahuan umum, dia berdepan tekanan cukup besar sehingga terpaksa mengambil ubat untuk menenangkan dirinya.

Menurutnya, ketika SPRM mula-mula menyiasat kes itu, dia ditahan reman selama 11 hari.

Katanya lagi, ia hampir memusnahkan semua usahanya untuk menjayakan projek itu, antaranya apabila bank enggan memberi pinjaman selain hilang keyakinan daripada ahli perniagaan lain.

Tekadnya untuk membuktikan dirinya sebagai usahawan bumiputera hampir musnah, katanya lagi.

"Namun, saya tidak putus asa dengan publisiti negatif ini, dan sedikit demi sedikit saya dapat semula keyakinan daripada komuniti perniagaan dan meneruskan perjuangan saya.

"Kerajaan Pulau Pinang beri saya peluang untuk melaksanakan projek ini. Keterangan saya (didakwa diberikan kepada SPRM ketika siasatan) tersebar di media sosial dan saya kembali jadi perhatian media.

"Saya terpaksa hadapi semua ini dengan semangat Melayu yang membakar di dada.

"SPRM juga sahkan yang syarikat saya bukan syarikat 'Ali Baba' dan saya memang pemegang saham," katanya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum itu, Zarul berkata dia memberikan rasuah RM200,000 kepada Lim, sebanyak dua kali iaitu pada 2013 dan 2014.

Ketika perbicaraan pada 17 Disember tahun lalu pula, dia berkata "terkejut" apabila Lim didakwa meminta 10 peratus keuntungan yang bakal diraih daripada projek itu.

Dia berkata Lim membuat permintaan itu ketika mereka berada dalam kereta di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Perbicaraan di depan hakim Azura Alwi akan bersambung esok dengan Zarul dijangka membacakan keterangan saksi bertulisnya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS